Wednesday, July 28, 2010

Tunggu Keputusan Rayuan Permohonan Dapatkan Bahan Bukti Sebelum Sambung Perbicaraan

SHAH ALAM 28 Mei - Pihak pembelaan kes Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang akan memohon kepada Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Zabidin Mohd Diah supaya menangguhkan perbicaraan sehingga Mahkamah Rayuan Putrajaya memberikan keputusan berhubung rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan laporan perubatan dan bahan bukti.
Peguam Sankara Nair ketika dihubungi Suara Keadilan pagi tadi berkata pihak pembelaan akan memohon kepada Zabidin supaya kes yang sepatutnya diteruskan pada 2 Ogos ini ditangguh sehingga keputusan sama ada permohonan Anwar untuk mendapatkan laporan perubatan berjaya atau sebaliknya.
"Bagaimana kita mahu meneruskan prosiding sedangkan Mahkamah Rayuan belum membuat keputusan. Pada 2 Ogos ini, pihak pendakwa raya dijangka akan memanggil tiga doktor Hospital Kuala Lumpur untuk menyoalbalas mereka.
"Ini sudah tentu akan menyusahkan kerana tanpa laporan perubatan dan bahan bukti bagaimana mungkin pihak kami boleh meneruskan perbiacaraan.
"Pihak pembelaan akan meminta supaya kes ini ditangguhkan sehingga Mahkamah Rayuan memberikan keputusannya," ujar Sankara.
Sankara memberitahu, Pendaftar Mahkamah Rayuan Putrajaya pagi semalam telah menghantar surat memaklumkan bahawa mahkamah telah menetapkan pendengaran permohonan itu pada 6 Ogos depan.
Menurutnya, tarikh tersebut itu menyukarkan pihak pembelaan kerana tidak boleh menyoalbalas saksi tanpa dibekalkan laporan perubatan dan bahan bukti.
Saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan sebelum ini memberikan keterangan menggemparkan apabila mendakwa doktor yang memeriksanya di sebuah hospital swasta telah berbohong dalam laporan perubatannya.
Saiful memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Dr Mohamad Osman Abdul Hamid daripada Hospital Pusrawi berbohong apabila menyatakan beliau mengaku mengalami kesakitan di duburnya kerana objek plastik telah dimasukkan ke dalamnya.
Saiful mendakwa beliau tidak memberikan pengakuan sebegitu kepada doktor berkenaan.
Bagaimanapun bekas pembantu Anwar tersebut gagal menjelaskan laporan hampir sama yang dikemukakan oleh tiga pakar perubatan Hospital Kuala Lumpur yang turut memeriksanya.
Seperti Dr Mohamad Osman, tiga pakar itu juga mendapati tidak ada bukti klinikal menunjukkan Saiful mangsa liwat.
Pada 4 Mei lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk mengenepikan kes tuduhan liwat yang di hadapinya.
Ketika membuat keputusan itu Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria berkata laporan perubatan bagi menyokong permohonan Anwar untuk menolak kes ini hendaklah di baca secara keseluruhannya.
Dalam sesi penghujahan ketika itu, ketua peguam pasukan pembelaan, Karpal Singh berkata melalui laporan perubatan tiga doktor pakar HKL jelas menunjukkan tidak wujud sebarang penetrasi ke dalam dubur Saiful.
Karpal mendakwa sampel air mani yang diambil daripada badan Anwar telah dengan sengaja dipalitkan ke badan Saiful.
Anwar, 62, didakwa melakukan kesalahan itu di kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara pada 26 Jun, 2008.

Saiful Akan Berkahwin Dengan Farah?

SHAH ALAM 28 Julai - Setelah digugurkan daripada pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, desas desus timbul Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif dikatakan akan berkahwin saksi utama pihak pendakwaan, Mohd Saiful Bukhari Azlan dalam masa terdekat.
Menurut sumber badan kehakiman yang memberitahu Suara Keadilan, Saiful dan Farah dikatakan bercadang melangsungkan perkahwinan mereka secepat mungkin bagi menggelakkan lebih banyak persepsi buruk masyarakat terhadap mereka.
Hubungan romantik antara mereka terbongkar apabila penulis blog terkenal, Raja Petra Kamarudin mendedahkan dalam portal berita beliau, MalaysiaToday mengenai hubungan sulit Saiful dengan seorang timbalan pendakwaraya wanita.
Bagaimana pun hubungan cinta yang dirahsiakan itu mendapat kritikan hebat daripada pengamal undang-undang yang melihat pegawai Pejabat Peguam Negara itu telah meletakkan perjalanan pendakwaan terhadap Anwar dalam keadaan yang meragukan.
Ini kerana maklumat kertas siasatan pihak pendakwaan berkemungkinan mampu dibocorkan kepada Saiful yang mempuunyai kepentingan dalam kes tersebut sebagai pengadu.
Menurut laman web Pejabat Peguam Negara, Farah Azlina merupakan Timbalan Pendakwa Raya pada Gred L44.
Sebelum ditukar sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Bahagian Pendakwaan pada 16 Februari 2010 lalu, Farah Azlina yang dipercayai berusia awal 30an bertugas di Bahagian Perbicaraan dan Rayuan dalam jawatan yang sama.
Dalam sidang media yang diadakan semalam, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata Farah Azlina juga digugurkan daripada Bahagian Pendakwaan, kurang enam bulan pertukaran beliau, atas alasan mengadakan hubungan romantis dengan Saiful.
Bagaimanapun Abdul Gani tidak menyatakan apakah status Farah Azlina di Pejabat Peguam Negara setelah beliau digugurkan.
Sebelum hubungan dengan Timbalan Pendakwa Raya ini, Saiful dikatakan mengikat tali pertunangan dengan Janna Syariza Mohd Zaki.

Setelah Janna Syariza Gugur, Farah Azlina Juga Gugur?

Masihkah anda ingat lagi dengan nama Janna Syariza Mohd Zaki? Nama yang sebelum ini meletup kerana menyimpan salah satu bahan bukti terhadap kes mahkamah yang sedang berlangsung di Jalan Duta.
Janna Syariza ialah tunangannya Saiful Bukhari Azlan, dan bahan bukti yang pernah disimpannya ialah seluar dalam tunangnya yang berjenama Levis berwarna biru tua. Ironinya seluar dalam tersebut, merupakan seluar dalam yang digunapakai oleh Saiful Bukhari sejurus sebelum dara duburnya dirobek.
Mengapa bahan bukti tersebut berada dalam mesin basuh di rumah Janna tidak di rumah Saiful bukanlah perkara yang ingin dipersoalkan.
Status pertunangan antara Saiful dan Janna juga tidak akan diperkatakan di sini samada masih lagi dijalin atau sudah gugur talak tayapawaunya.
Terdapat juga khabar angin bahawa hubungan tunang ini telah terputus dek kerana Saiful tidak mahu bertanggungjawab di atas kandungan yang terhasil sebelum ikatan perkahwinan, dan terdapat juga khabar angin yang bertiup kencang menyatakan Saiful mahukan kandungan tersebut digugurkan dan akhirnya menyebabkan hubungan tunang itu terputus di tengah jalan.
Namun khabar angin tetap berstatus khabar angin selagi ia tidak dibuktikan sahih. Politik persepsi begitu kejam untuk diharungi walaupun khabar angin tidak mungkin dijadikan asas bukti atau saksi. Maka saya menganggap hubungan tunang di antara Janna dan Saiful masih terjalin.
Jika saudara pembaca semua masih ingat, kata-kata Janna bahawa dia akan berdiri teguh di belakang tunangnya dan bersama-sama mengharungi segala kemungkinan dan dugaan yang akan mendatang.
Itulah tekadnya seorang tunang menanti kebenaran menyebelahi sang tunang. Begitu hebatnya cinta seorang pengamal media terhadap seorang coffee boy, yang sebelum ini gagal menghabiskan pengajiannya walaupun mendapat biasiswa dari pejabat Timbalan Perdana Menteri.
Apakah agaknya perasaan Janna bila mengetahui tunangan kesayangan berlaku curang? Masihkah utuh keteguhan Janna di belakang tunangnya apabila kebenaran yang dicari, dicurahkan dengan kepahitan sebuah perselingkuhan?
Hari ini, perjalanan perbicaraan kes Anwar sekali lagi menimbulkan gempar. Tidak cukup dengan kegemparan yang disahut ketawa guling-guling apabila mangsa mendakwa dua hari berturut-turut tidak membasuh dubur dan tidak berak semata-mata untuk menjaga bahan bukti yang bersifat cecair.
Tidak cukup dengan kegemparan sespontan ayat can I f... you today? Tidak cukup dengan kegemparan seorang mangsa liwat bergender lelaki 20an tidak berdaya menolak asakkan warga emas yang umurnya mencecah 60an.
Kegemparan kali ini berlaku di luar mahkamah, iaitu hubungan romantis di antara seorang mangsa liwat dengan si penyambung nyawa iaitu timbalan pendakwa rayanya sendiri - Farah Azlina Latif.
Berikut adalah kata-kata yang pernah diluahkan oleh Janna dalam blognya yang kini hanya telah ditutup untuk tatapan umum.
“Saya juga sedar akan perjuangan yang menanti kami di hadapan. Insya-Allah kami akan menghadapinya bersama walaupun ia memakan masa yang lama.
Kebenaran akan terbukti jua….,”
Maka kebenaran yang dicari oleh Janna telah terbukti jua apabila Saiful digosip-hangat sedang menjalinkan hubungan romantis dengan seorang timbalan pendakwa raya.
Gosip atau khabar angin adalah tidak manis untuk dibicarakan secara terbuka kerana ia akan menggerakkan penyebaran fitnah, namun jika 'madunya' si Janna Syariza yang bernama Farah Azlina telah digugurkan serta merta dari pasukan pendakwa raya, maka saya melihat tuduhan Raja Petra adalah berasas.
Mengapa begitu terburu-buru menggugurkan seorang timbalan pendakwa raya, dan dengan pantas menafikan peranan seorang timbalan pendakwa raya dalam sebuah kes yang berprofil tinggi?
Farah Azlina telah gugur di medan mahkamah bagi mengelakkan kredebiliti pasukan pendakwa raya tercalar, dan ia juga bertujuan untuk menyelamatkan perjalanan kes yang semakin songsang pada bacaan umum.
Apakah persepsi yang bakal timbul sekiranya seorang mangsa liwat didapati meliwat timbalan pendakwa rayanya sendiri?
Oleh demikian, sebelum episod tidak mustahil ini menjadi kenyataan, adalah lebih baik Farah Azlina digugurkan dan Saiful pula dinasihatkan supaya tidak lagi menambah beban kepada sebuah pasukan yang mempunyai misi besar - menyumbat Anwar Ibrahim kembali ke Sungai Buluh.
Rakyat melihat perjalanan kes ini, rakyat membaca selok-belok dan segala cornering yang berlaku di dalam dan di luar perbicaraan mahkamah yang melibatkan seorang Ketua Pembangkang.
Sedikit demi sedikit cacat-cela di pihak pendakwaan telah terbit membentuk kebenaran di pihak yang didakwa.
Mahukah rakyat percaya kepada seorang kasanova yang melempar tuduhan menjadi mangsa liwat kepada seorang pemimpin pejuang rakyat bernama Anwar Ibrahim?
Mahukah rakyat percaya kepada seorang pro-aspirasi yang gagal dalam pembelajaran universiti?
Mahukah rakyat percaya terhadap seorang pengotor yang sanggup tidak membasuh duburnya untuk tempoh dua hari demi sebuah bukti?
Keperibadian Saiful tidak mahu tidak, menjadi pertaruhan besar dalam mendepani pandangan rakyat dan juga pasukan peguambela Anwar kerana susuk pejuang ratyat ini bukanlah mudah untuk ditewaskan selagi mendapat sokongan rakyat kebanyakkan.
Menyumbat Anwar ke penjara tanpa asas yang kukuh bakal menyebabkan kebangkitan rakyat yang diterjemah di jalan raya pada tahun 98 kembali berulang.
Oleh itu juga, keperibadian Saiful direka-cipta apabila penampilan terbaru menunjukkan Saiful mempunyai 'lebam sujud' di dahinya.
Sedangkan sembahyang berbelas tahun belum tentu ada tanda di dahi.
Kekalahan dari sudut keperibadian akan menyebabkan Saiful kalah lebih awal dalam bicara awam walaupun akhirnya Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara.
Memenangi kes mahkamah dengan jualan persepsi yang tidak laku akan menyebabkan kebangkitan, malah kebangkitan kali ini tidak dapat dijangka hebatnya.
Inilah yang mahu dielakkan oleh pihak pengatur konspirasi, namun sehebat mana pun perancangan mereka nescaya perancangan Allah itu Maha hebat.
Berbalik kepada soal Janna Syariza yang tidak diketahui apakah nasib yang menimpa dirinya ketika ini, jika ditakdirkan Janna membaca artikel blog ini, ingin saya nasihatkan kepada Janna betapa Allah masih menyayangi diri Janna apabila memberikan hidayah serta petunjuk yang jelas akan wajah-wajah sebenar Saiful Bukhari disebalik dahi legamnya.
Maaf jika kebenaran itu amat pahit untuk ditelan oleh yang empunya badan, kehidupan harus diteruskan dan harapan agar ia membangkit keinsafan lantas satu keberanian untuk mendedahkan sesuatu adalah dituntut.
Sebagai tunang atau bekas tunang kepada Saiful, Janna pastinya mempunyai sesuatu untuk didedahkan demi sebuah kebenaran terpendam.
Semoga Janna berjaya mengadaptasi apa jua kebenaran yang telah terserlah.
Kepada rakyat yang mengikuti perbicaraan Fitnah Liwat II dengan tabah dan sabar, anda juga berhak menghakimi perbicaraan yang penuh songsang lagi meragukan.
Berjanjilah jika keadilan itu dinafikan oleh penghakiman yang berat sebelah, yang menyebabkan Anwar meringkuk dalam penjara, ayuh kembali ke jalanraya!!
Anda semua terpanggil untuk sekali lagi mengharungi air gatal water cannon oleh pasukan bomba berbelantan.
Di sinilah manisnya berjuang, demi masa depan ugama, anak bangsa dan tanah air.
Jika tahun 1998 dulu saya tidak berkesempatan bersama pejuang jalanan (kerana ketika itu di bawah pengaruh Tun Dr Mahathir), kini saya bersedia di atas medan mana pun, mencari keadilan untuk pejuang keadilan !! Ayuh kita kembali ke jalanan, demi sebuah keadilan yang dinafikan!!

Tuesday, July 20, 2010

Bekas duta US: Anwar akan terus dihumban ke penjara?

Sekiranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman bersalah atas tuduhan meliwat, adakah beliau akan dinafikan peluang ikat jamin dan terus dihumban ke penjara?

Senario itu dikemukakan oleh bekas duta Amerika Syarikat ke Malaysia, John R Malott, melalui rencana pengarangnya yang disiarkan di The Wall Street Journal - akhbar yang paling tinggi edarannya di Amerika, semalam.

"Ketika melawat Malaysia bulan lau, adalah jelas bukan sahaja kepada Anwar tetapi juga pemerhati lain bahawa mereka menjangkakan keputusan bersalah pada Ogos nanti, tulis Malott.

"Persoalannya sama ada dia akan bebas dengan ikat jamin semasa rayuannya atau terus dihumban ke penjara.

Menurut Malott pengalamannya berkhidmat di Kuala Lumpur antara 1995 hingga 1998 menyakinkannya bahawa perbicaraan liwat kedua membabitkan bekas timbalan perdana menteri itu adalah bermotifkan politik.

"Segala yang saya ketahui ketika itu dan sekarang ini, membawa kepada rumusan bahawa perbicaraan ini adalah untuk mengketepikan beliau dari politik, katanya.

Merujuk kepada kejayaan Anwar pada pilihan raya umum 2008, Malot berhujah perbicaraan liwat sekarang bertujuan melemahkan pakatan pembangkang yang semakin bersemangat.

"Rancangan politik kerajaan adalah untuk menghumban Anwar ke penjara supaya pembangkang menjadi kucar-kacir dan tidak bersedia. Kemudiannya, pilihan raya mengejut diumumkan dan mereka akan menang dengan mudah, katanya.

Menurut Malott adalah mustahil bagi Anwar bagi menang pada perbicaraan itu, lebuh-lebih lagi apabila bukti-bukti penting kes itu dinafikankepada peguamnya. Malah, media-media yang dikuasai kerajaan telah juga menghukumnya dengan mendapati beliau 'bersalah' dalam laporan mereka.

"Malaysia tidak mempunyai sistem juri. Keputusan ditentukan oleh seorang hakim yang dilantik oleh kerajaan yang sama yang mahu Anwar dikeluarkan dari politik, katanya.

Dalam artikelnya itu juga, Malott mendakwa kerajaan BN sekarang dibelenggu oleh pelbagai masalah dan mereka bertekad untuk mengurung Anwar agar segala kepincangan itu tidak dihebohkan.

Katanya, ekonomi Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan terdapat kadar pertumbuhan, namun perangkaaan itu disokong oleh perbelanjaan kerajaan.Tindakan itu menyaksikan hutang negara semakin membesar manakala pelaburan terus asing (FDI) cukup kecil.

Thursday, July 1, 2010

Hosni ulangi dakwaan ditipu 'sertai' Umno

Mohd Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27 mendakwa beliau ditipu apabila disebut sebagai salah seorang daripada 40 ulama muda yang menyertai Umno Jumaat lalu.

Beliau memberitahu Malaysiakini, keempat-empat mereka diperdaya oleh ayah kepada seorang rakan mereka kononnya perdana menteri mahu berjumpa dengan bekas pelajar Jordan.


"Jadi, pada saya apa salahnya berjumpa dengan perdana menteri," kata Mohd Hosni yang kini menjadi tenaga pengajar di Maahad Tahfiz Integrasi dan Teknologi Selangor yang terletak di Klang.

Mereka diberitahu pertemuan akan diadakan di Hotel Legend yang terletak di seberang jalan bangunan Umno.

Namun, apabila sampai ke hotel itu, beliau dan rakan-rakan dibawa turun dengan eskalator dan seterusnya menyeberang jalan ke bangunan Umno dan dibawa masuk ke dalam satu dewan.

Di sana sudah ada ramai orang yang kelihatan macam orang PAS, orang Tabligh dan sebagainya, berdasarkan kepada pakaian mereka.

"Jadi saya senang hatilah," kata Mohd Hosni. Menurutnya mereka kemudian disambut oleh bekas menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan disuruh berbaris bagi menyambut ketibaan perdana menteri.

Kata Hosni, selepas pengumuman dan diperkenalkan dengan ulama yang menyertai Umno, baru beliau menyedari tujuan majlis diadakan.

"Sekiranya saya tahu hal ini, saya tidak akan hadirinya. Saya ditipu untuk datang,” katanya.

Hosni bersama tiga rakannya yang belajar di Universiti Al Albayt, Jordan adalah antara mereka yang hadir pada majlis penyerahan borang menyertai Umno kepada presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga menolak dakwaan yang dia ke PWTC untuk bersalam dengan Perdana Menteri.

“Tentang hendak bersalam dengan Najib, adalah lebih munasabah saya pergi ke Kelantan bersalaman dengan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, itu lebih baik dari bersalaman dengan orang yang didakwa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Harakahdaily memetik Hosni berkata, beliau mendapat maklumat terdapat seorang lagi lepasan Madinah yang dijemput ke majlis berkenaan kerana terdapat majlis diskusi, tetapi sebaliknya yang berlaku ialah penyerahan borang menyertai Umno oleh beberapa orang yang digelar sebagai sebagai ulama muda yang 'ori'.

Katanya, seorang di Perlis, Ustaz Abdul Wahab Abdullah berkata, beliau hadir untuk bertemu dengan perdana menteri bagi membersihkan nama kumpulan mereka yang dikaitkan dengan keganasan.

“Terbukti Umno menggunakan banyak cara untuk menarik ulama muda menyertai mereka kerana jika untuk alasan biasa pasti mereka tidak didekati, lalu mereka gunakan berbagai cara,” ujarnya.

"Saya sebenarnya rasa tertipu dengan apa yang berlaku....itulah yang saya terangkan di setiap kali ceramah saya," kata Hosni.