Sunday, October 3, 2010

Tunai janji jika mahu sokongan kami, amaran Raja Petra buat Pakatan dan Anwar

LONDON, 3 Okt — Yang mana datang awal? Perubahan atau sokongan popular?

Nampaknya, blogger Malaysia Today Raja Petra Raja Kamaruddin sudah mula hilang sabar dengan memberi kata dua kepada Pakatan Rakyat (PR) yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu pertemuan di sini semalam.

Ketua Pembangkang itu juga telah dipaksa menzahirkan pendirian terhadap masyarakat madani selepas Raja Petra, yang menjadi tumpuan pelbagai gerakan akar umbi di Malaysia, mencabar PR berhubung komitmen mereka terhadap pembaharuan yang hendak dibawa dan dilaksanakan.

Pada sesi dialog dengan rakyat Malaysia di sini, Raja Petra yang mesra dikenali sebagai “RPK”, mengancam untuk menarik balik sokongan kepada PR dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Galas - pilihan raya kecil yang ke-12 sejak Mac 2008 - atas alasan perikatan tiga parti politik itu telah gagal untuk menunaikan janji-janji menjelang pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan perubahan dalam landskap politik negara.

PR memenangi lima negeri selain menguasai 82 kerusi di Parlimen, sekali gus menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat.

Sehingga pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri Manek Urai Julai 2009, Raja Petra seringkali turun ketika kempen pilihan raya kecil untuk membantu calon-calon PR.

Raja Petra berada dalam buangan kendiri sejak pertengahan tahun lalu.

Bagaimanapun Anwar, Penasihat PKR, merayu agar rakyat memahami bahawa kebanyakan pembaharuan tidak boleh dilaksanakan tanpa penguasaan kerajaan persekutuan, sebaliknya pejuang masyarakat madani perlu membantu PR berada di Putrajaya bagi melakukan pembaharuan-pembaharuan ini.

Raja Petra berkata “sebelum Mac 2008 kita duduk untuk tempoh berbulan lama dan merangka Deklarasi Rakyat yang merupakan versi kemas kini kepada Agenda Untuk Perubahan, yang dirangka oleh Anwar sendiri ketika berada di penjara.”

Anwar dibebaskan dari penjara pada 2004 tetapi hanya layak bertanding selepas Mac 2008 dan memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh ketika pilihan raya kecil.

Raja Petra menggambarkan bagaimana deklarasi itu, yang merangkumi pelbagai isu - daripada ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sehinggalah politik - dikemukakan kepada tiga parti politik yang membentuk PR dan parti-parti pembangkang yang lain.

PR, dianggotai DAP, PAS dan PKR, dibentuk selepas sebulan selepas pilihan raya umum Mac 2008. Ia masih dalam proses kelulusan pendaftaran.

Malah Raja Petra mendakwa deklarasi itu juga sedikit sebanyak diterima sebagai manifesto pilihan raya.

“Oleh kerana itu, kami turun ke bawah, kami berkempen dan merentasi seluruh Malaysia,” kata beliau lagi merujuk kepada kempen ketika pilihan raya umum Mac 2008 dan pilihan raya kecil yang menyusul.

Justeru, Raja Petra melahirkan rasa tidak puas hati kerana PR belum lagi menunaikan janji-janji yang digariskan dalam manifesto meskipun menguasai pemerintahan beberapa kerajaan negeri sepanjang dua setengah tahun lalu.

Pada hari ini PR menguasai Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Raja Petra juga menggariskan ketiadaan akhbar-akhbar Bahasa Malaysia diterbitkan kerajaan-kerajaan negeri dikuasai PR atas alasan ia penting untuk meneruskan perjuangan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau membandingkan persekitaran politik di United Kingdom di mana parti Demokrat Liberal hanya bersetuju untuk membentuk kerajaan campuran dengan Konservatif

selepas dijanjikan pembaharuan menyeluruh akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

Britain berhadapan dengan pembentukan kerajaan campuran selepas pilihan raya umum pertengahan tahun ini gagal memberikan majoriti jelas di Parlimen.

“Kita sudah memberi PR tempoh dua setengah tahun, tetapi tiada pembaharuan tunggal yang dilaksanakan sehingga kini.

“Sesetengahnya boleh dilaksanakan dengan segera, sesetengahnya akan mengambil masa dua tahun, ada yang akan mengambil 20 tahun.

“Sekurang-kurangnya kita melihat (ia dilaksanakan), maka kita akan gembira dan kita akan terus menyokong PR dalam setiap pilihan raya kecil dan pilihan raya umum termasuk di Galas,” kata Raja Petra.

Beliau yang kini berada dalam buangan kendiri di luar negara sejak setahun lalu menambah, PR memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya ekoran sokongan masyarakat madani yang merupakan “kuasa ketiga”.

Raja Petra memberikan contoh gerakan Bersih dan Hindraf pada 2007 yang memperjuangkan agar diadakan pilihan raya bebas dan adil serta hak masyarakat orang India dibela.

Sehubungan itu, Raja Petra mengingatkan PR bahawa “kami rakyat adalah tuan” dan perikatan berusia dua setengah tahun itu perlu menyelesaikan beberapa isu jika mahu membentuk kerajaan persekutuan kelak.

Anwar membalas pendirian Raja Petra itu dengan menegaskan bahawa PR mengiktiraf keperluan membawa perubahan tetapi “rakan-rakan kami dalam masyarakat madani perlu bekerjasama dengan kami sebagai satu pasukan.”

“Kami memerlukan (sokongan) masyarakat madani memandangkan kami tidak boleh bergantung pada media yang dikawal Umno,” kata Ketua Umum PR ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh ini juga mendakwa tangan PR terikat dalam melaksanakan pembaharuan memandangkan kuasa untuk berbuat demikian terletak di peringkat kerajaan persekutuan.

Pun begitu, Anwar menekankan beberapa perubahan telah dilaksanakan termasuk menggantikan sistem tender langsung dengan tender terbuka, satu dasar yang membolehkan kerajaan negeri Kedah mengurangkan cukai pintu jumlah keseluruhan sehingga RM15 juta, tetapi mengekalkan pulangan memandangkan langkah tersebut mendatangkan hasil pembalakan yang lebih baik.

Anwar juga menggariskan Akta Kebebasan Maklumat yang digubal oleh kerajaan negeri Selangor meskipun ia masih tertakluk pada Akta Rahsia Rasmi yang dikuatkuasakan oleh kerajaan persekutuan.

Anwar juga menambah, Selangor dalam proses menjadikan Selangor Kini, sebagai akhbar harian untuk diedarkan kepada isu rumah di Selangor bagi menghadapi media-media dikawal Umno khususnya di kawasan-kawasan pengundi Melayu.

Dalam pada itu, Pengarah Strategi PKR Chua Tian Chang menambah, masyarakat madani harus melihat nilai PR bukan hanya setakat jumlah kerusi yang dimenangi, tetapi juga sebagai “satu forum yang baru.”

“Untuk tempoh selama setengah abad isu yang dihadapi ialah mustahil untuk (kita) berbincang. Tetapi, ia kini berada di atas meja,” kata Ahli Parlimen Batu ini.

Beliau menambah, adalah penting untuk membawa satu suara yang bersatu bagi menghadapi sikap BN yang etnosentrik dan memanipulasikan agama.

Raja Petra juga melahirkan kekecewaan dengan sikap tidak kaliber calon-calon PR yang bertanding dalam pilihan raya umum lalu dan menawarkan “calon yang berwibawa untuk bertanding mewakili PR.”

Raja Petra juga menimbulkan isu ramai pemimpin PR terpaksa bertanding kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri selain beberapa wakil rakyat yang dipilih bertindak keluar parti sehingga menyebabkan BN mengambil alih Perak awal 2009.