Wednesday, December 23, 2009

Dasar Pakatan Rakyat

Dec 19, 2009 09:20:01 am

1. Demokrasi Telus dan Tulen

A – Negara Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang
B – Pemisahan Kuasa
C – Sistem Pilihanraya Yang Bersih, Bebas dan Adil

2. Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil

A – Ekonomi Kemahiran Tinggi
B – Ekonomi Demokratik dan Telus
C – Desentralisasi dan Pengupayaan Pengurusan Ekonomi Negeri
D – Dasar Afirmatif Berdasarkan Keperluan
E – Tenaga Kerja
F – Jaringan Perlindungan Sosial
G- Perumahan
H- Prasarana dan Kemudahan Awam
I- Alam Sekitar

3. Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan

A – Perpaduan dan Keadilan Sosial
B – Agama
C – Pendidikan
D – Wanita dan Institusi Keluarga
E – Golongan Muda
F – Keselamatan
G – Kesihatan
H – Kebudayaan

4. Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara

A – Sistem Persekutuan
B – Sabah dan Sarawak
C – Dasar Luar Negara

MUAFAKAT RAKYAT

Pakatan Rakyat menyediakan suatu rencana dasar dan kebijakan untuk membawa keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing.

Agenda pembangunan bangsa telah tergelincir akibat dari faham perkauman sempit, politik adu domba dan “demokrasi otoritarian”. Ekonomi merudum akibat dari keruntuhan akal budi, kerakusan rasuah dan kebijakan-kebijakan usang yang menyebabkan Malaysia tercicir ke belakang dari ekonomi-ekonomi rancak serantau.

Ketidakadilan ekonomi semakin ketara dengan melebarnya jurang antara golongan kaya dengan miskin, antara bandar, desa dan pendalaman antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.

Peningkatan jenayah mengancam keselamatan nyawa dan harta rakyat kerana pasukan polis disalahgunakan untuk tujuan politik sempit. Kewibawaan dan kebebasan sistem kehakiman terus digasir oleh campur tangan politik dan kepentingan perniagaan.

Setengah abad Malaysia merdeka dan berdaulat sewajarnya mendewasakan. Ini diterjemahkan manakala rakyat dari pelbagai kaum mempamerkan semangat baru meleburkan kerangka pemikiran usang dan jumud, menolak kerakusan kuasa, merebaknya rasuah, merompak khazanah negara dan menginjak hak rakyat.

Menginsafi semangat rakyat tersebut maka Pakatan Rakyat mengikrarkan iltizam kami untuk menghayati dan melaksanakan agenda politik baru ke arah menggembleng tenaga rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya yang dilihat sebagai satu kekuatan.

Malah kami yakin; kita mampu berubah dari dasar perkauman sempit kepada kerukunan hidup beragama, nilai kemanusiaan, berlandaskan prinsip akhlak dan etika hak asasi, prinsip negara hukum tanpa memilih darjat, kaum atau kelompok. Dasar yang terpasak dari kepatuhan kepada Perlembagaan dan prinsip-prinsip keadilan sejagat akan menjamin keluhuran undang-undang dan kebebasan sistem kehakiman, sebagaimana ia menjamin hak-hak asasi manusia dan maruah rakyat kekal terbela dan dimartabatkan.

Pakatan Rakyat berkeyakinan bahawa ekonomi Malaysia mampu dipacu dengan lebih pantas melalui dasar ekonomi pasaran yang manusiawi yang mengarah kepada pembangunan manusia seutuhnya. Kebijakan ekonomi harus menjadikan Malaysia mampu berdaya saing, iklim pelaburan yang sihat, percukaian progresif, tetapi kukuh dengan hasrat mencapai keadilan melalui kaedah pengagihan ekonomi yang adil terutama bagi kelompok miskin dan terpinggir.

Pakatan Rakyat menolak dasar yang membuka ruang kepada rasuah dan lain-lain jenayah kewangan serta penyalahgunaan kuasa. Demi memastikan pertumbuhan yang mapan, dasar menindas yang hanya memperkayakan segelintir perlu digantikan dengan sebuah dasar yang memastikan bantuan kepada golongan miskin di Malaysia tanpa mengira kaum.

Berdasarkan latar belakang ini kami mengajak rakyat Malaysia mencipta suatu muafakat baru yang berteraskan keadilan untuk semua dan prinsip-prinsip perlembagaan. Ini adalah agenda yang mesti dilakukan untuk mengembalikan maruah bangsa, kebebasan rakyat dan kemuliaan insan. Hanya dengan keadilan semua rakyat akan makmur dan bersatu padu.

1. Demokrasi Telus dan Tulen

A – Negara Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang

Perlembagaan Persekutuan merupakan penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang merdeka. Di dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama, bahasa, kerakyatan dan budaya dijamin sepenuhnya. Justeru, Pakatan Rakyat beriltizam memartabatkan semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Pakatan Rakyat akan:

i. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153

ii. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan.

iii. Memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

iv. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa dibicara. Serentak dengan itu mengesyorkan pembatalan semua pengisytiharan Darurat yang masih berkuatkuasa.

v. Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalim serta melanggar hak asasi.

vi. Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.

B – Pemisahan Kuasa

Keberkesanan amalan sistem demokrasi bergantung kepada keutuhan pelaksanaan doktrin pemisahan kuasa. Integriti sesebuah kerajaan bergantung kepada kebebasan, kebolehpercayaan dan kewibawaan institusi-institusi yang diamanahkan untuk menjamin keseimbangan antara cabang eksekutif, kehakiman dan legislatif.

Pakatan Rakyat akan:

i. Memulihkan kewibawaan sistem kehakiman dan menjamin ketelusan serta kebebasan sepenuhnya Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman.

ii. Menyusun semula perjalanan Parlimen untuk menjadikannya lebih telus, demokratik dan dapat menjalankan peranan kuasa semak dan imbang.

iii. Menjamin pertanggungjawaban badan-badan seperti Suruhanjaya Pilihanraya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Petronas, Khazanah dan sebagainya secara langsung kepada Parlimen.

iv. Mewajibkan perlantikan jawatan-jawatan seperti Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Ketua Audit Negara mendapat kelulusan Parlimen.

v. Mewujudkan Jabatan Hisbah Negara (Ombudsman).

vi. Mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan sistem penyampaian dan menjamin ketelusan di semua peringkat secara demokratik.

vii. Membebaskan media, meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan memastikan kebebasan Internet.

viii. Mempertingkatkan prestasi sektor perkhidmatan awam serta menjamin kebajikan anggotanya. Memastikan institusi tersebut berkecuali dan menjalankan tanggungjawabnya secara cekap.

ix. Memberdayakan dan memugar masyarakat madani atau sivil. Menyemarakkan penyertaan rakyat melalui dialog dan perundingan.

C – Sistem Pilihanraya Yang Bersih, Bebas dan Adil

Kewibawaan sistem pilihanraya yang tempang mesti dipulihkan. Kuasa keramat rakyat untuk memilih pemimpin negara mesti dipertahankan daripada sebarang kecurangan yang membuka ruang kepada penyelewengan. Makanya adalah penting untuk kita mengkaji semua akta yang berkaitan dengan pilihanraya.

Pakatan Rakyat akan:

i. Membolehkan setiap rakyat berusia 18 tahun ke atas mengundi melalui pendaftaran secara automatik.

ii. Menghapuskan kelemahan dalam sistem pengundian dengan membersihkan senarai pengundi, memansuhkan undi pos bagi pengundi dalam negeri, memastikan semua rakyat di luar negara dapat mengundi dan menggunakan dakwat kekal.

iii. Memastikan media massa memberi ruang kepada semua parti politik secara adil dan saksama, tempoh kempen yang munasabah dan pengendalian serta perjalanan pilihanraya yang bersih dan bebas.

iv. Menentukan persempadanan kawasan undi dibuat dengan mencerminkan prinsip Satu Rakyat, Satu Undi demi menjamin perwakilan yang lebih adil dan saksama.

v. Memperuntukkan belanja kempen kepada parti-parti politik berdasarkan peratusan jumlah undi yang diperolehi pada pilihanraya umum.

vi. Menggubal undang-undang yang lebih berkesan bertujuan menghukum calon atau parti politik yang terbabit rasuah atau amalan membeli undi.

2. Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil

Pakatan Rakyat bertekad menjadikan ekonomi negara berprestasi tinggi dan memiliki pertumbuhan mapan. Pemunggahan sumber-sumber dan khazanah negara secara cekap dalam pelaburan dibidang-bidang dan sektor-sektor utama dan strategik adalah penting bagi menjamin daya saing negara.

Merancakkan pelaburan tempatan dan menjana permintaan domestik yang kukuh serta menggamit pelaburan asing langsung yang berterusan bakal menjadikan ekonomi berdaya maju dan berdaya tahan.

Pakatan Rakyat beriltizam untuk ‘Merakyatkan Ekonomi Negara’ bagi memastikan kemakmuran dan kekayaan yang terhasil dikecapi oleh seluruh lapisan rakyat. Sekaligus merapatkan kesenjangan diantara kaya-miskin serta mengatasi ketidak seimbangan pembangunan wilayah akibat pengurusan tempang yang tidak mendahului kepentingan rakyat ramai.

A – Ekonomi Kemahiran Tinggi

Paksi kepada ekonomi berprestasi tinggi adalah tenaga kerja yang berpengetahuan, berketerampilan dan berkemahiran. Pakatan Rakyat akan membuat segala pelaburan yang diperlukan untuk membekalkan kewujudan warga kerja berproduktiviti tinggi ini bagi melonjakkan nilai tambah dalam kegiatan ekonomi negara.

Pakatan Rakyat akan:

i. Menjamin peluan pendidikan tinggi dan latihan berteraskan ketrampilan dibekalkan dalam seluruh sektor perkhidmatan pembuatan dan pertanian.

ii. Memastikan warga kerja diberi peluang meningkatkan kemahiran serta diberi latihan berterusan untuk terus meningkatkan produktiviti..

iii. Menggalakkan warga neraga yang professional dan berkemahiran yang bermastautin di luar negara kembali ke tanah air dengan menyedaikan suasana kerja yang professional dan menarik.

B – Ekonomi Demokratik dan Telus

Pakatan Rakyat beriltizam melaksanakan dasar-dasar pengurusan ekonomi yang bebas rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kronisme bagi meningkatkan kepertanggunjawaban, ketelusan dan urus tadbir yang baik.

Kebejatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa telah melenyapkan kekayaan dan mengekang pertumbuhan mapan serta menghakis daya sain negara.

Pakatan Rakyat akan:

i. Merombak sistem tender supaya adil, telus, terbuka dan memberi nilai terbaik untuk wang rakyat.

ii. Menolak penswastaan yang membebankan. Merunding semula konsistensi dan kontrak yang bersifat menguntungkan kroni dan tidak adil kepada rakyat, termasuk yang melibatkan IPP, tol lebuhraya dan prasarana air.

iii Melaksanakan sistem cukai progresif serta menolak sebarang cukai yang membebankan rakyat termasuklah cadangan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sehinggalah rakyat serta negara bersedia.

C –Desentralisasi dan Pengupayaan Pengurusan Ekonomi Negeri

Selaras dengan semangat persekutuan untuk meningkatkan sistem penyampaian kerajaan, keberkesanan dan kecekapan perbelanjaan, maka pelaksanaan dasar pembangunan dan ekonomi yang meluas perlu diagihkan kepada kerajaan negeri mengikut keutamaan masing-masing.

Desentralisasi mampu mendorong perubahan struktural dalam kerangka ekonomi bagi lonjakan kecekapan ekonomi dan produktiviti menerusi peningkatan tahap kecekapan dalam perbelanjaan selain kesan gandaan yang meningkat hasil perbelanjaan kerajaan dalam ekonomi negara.

Pakatan Rakyat akan:

i. Melaksanakan formula geran pembangunan dan kesamaan berdasarkan faktor jumlah penduduk, kadar kemiskinan, kawasan pembangunan, kos, pembangunan modal insan dan indeks pendapatan kasar per kapita akan turut diberikan bagi memastikan negeri yang miskin tidak ketinggalan.

ii. Mengagihkan kuasa pentadbiran ekonomi dan perlaksanaan kerja prasarana kepada kerajaan negeri, misalnya hak rundingan saksama dalam menentukan reka bentuk dan jaringan pengangkutan awam.

iii. Menjana pembangunan kawasan yang lebih seimbang, sekali gus mencipta bandar sekunder yang produktif di seluruh negara demi mengurangkan pemusatan pembangunan di Lembah Klang

iv. Mengutamakan dasar-dasar penjanaan pertumbuhan tinggi serta berjangka panjang, berasaskan pemahaman ekonomi di mana kerajaan negeri berada dalam kedudukan terbaik untuk menentu serta melaksanakan strategi sosio-ekonomi.

D – Dasar Afirmatif Berdasarkan Keperluan

Pakatan Rakyat memperakui bahawa setiap rakyat Malaysia berhak mendapat bantuan berdasarkan keperluan tanpa mengira latar belakang. Pakatan Rakyat bertekad untuk merakyatkan ekonomi negara, agar khazanah negara dapat dinikmati dengan adil oleh semua.

Pakatan Rakyat akan:

i. Menjamin bantuan ekonomi dan pengagihan adil kepada semua berdasarkan keperluan.

ii. Membantu golongan terpinggir dari semua kaum.

iii. Memberi bantuan tunai secara terus kepada kumpulan sasar untuk menghapuskan golongan miskin tegar.

iv. Menyediakan biasiswa pendidikan berdasarkan keperluan dan merit.

v. Menjamin mobiliti sosial dengan memastikan peluang ekonomi yang lebih adil dan sama rata untuk semua.

vi. Menggunakan penjimatan dari ketirisan dan pembaziran serta jihad menentang rasuah sebagai sumber tambahan bagi program membasmi kemiskinan

E- Tenaga Kerja

Tenaga kerja adalah tunjang kepada kemakmuran negara yang berterusan. Pakatan Rakyat akan menjamin semua pekerja Malaysia dilayan dengan adil serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan pekerja dipelihara.

Pakatan Rakyat akan:

i. Memperkenalkan gaji minima untuk semua pekerja Malaysia.

ii. Mempertahankan hak pekerja untuk membentuk kesatuan sekerja mengikut kesesuaian dan pilihan pekerja sendiri dan memastikan mereka diberi hak dan perlindungan selaras dengan piawaian antarabangsa.

iii. Memperkenalkan Akta Peluang Saksama untuk memastikan peluang pekerjaan terbuka kepada semua.

iv. Menyokong pengusaha dan peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana dengan menyediakan capaian kepada pinjaman dan prasarana yang mencukupi serta mengurangkan karenah birokrasi.

v. Mempermudahkan bantuan kepada nelayan dan petani untuk memacu peningkatan produktiviti.

vi. Menyusun dasar pekerja asing yang bersepadu dan mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.

vii. Menyediakan sistem sokongan kepada golongan terbabit dalam sektor ekonomi informal seperti peniaga kecil, penjaja, petani dan mereka yang bekerja sendiri.

F – Jaringan Perlindungan Sosial

Setiap rakyat Malaysia harus menikmati hidup yang bermaruah pada setiap masa. Rakyat yang hilang mata pencarian, warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpendapatan rendah mesti dilindungi dan diberi peluang untuk turut menikmati faedah pembangunan ekonomi negara.

Pakatan Rakyat akan:

i. Memperkukuhkan sistem Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan memperkenalkan sistem pencen untuk setiap pekerja sektor swasta.

ii. Menubuhkan Dana Penamatan Kerja untuk pembiayaan sementara rakyat yang hilang pekerjaan, subsidi untuk latihan semasa kerja dan latihan semula pekerja.

iii. Memperkenalkan usia tamat tempoh perkhidmatan 60 tahun bertujuan memberi peluang kepada mereka yang ingin terus menyumbang kepada masyarakat.

G – Perumahan

Rumah merupakan keperluan asas manusia. Hakikatnya sebahagian besar rakyat Malaysia tidak berkeupayaan memiliki rumah sendiri terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Maka Pakatan Rakyat akan:

i. Menubuhkan Perbadanan Perumahan dengan mandat untuk menambahkan bilangan rumah mampu milik dan mencapai matlamat Satu Keluarga, Satu Rumah.

ii Mengatasi masalah “setinggan/peneroka bandar” sebaiknya melalui pembangunan perumahan in situ dan/atau perkongsian tanah dan melalui syarat-syarat pinjaman yang murah bagi membantu setinggan membeli rumah mereka.

iii. Menyelaraskan sistem perundingan antara “setinggan/peneroka bandar”, pemaju dan pihak berkuasa untuk mencapai penyelesaian menang-menang bagi perkara-perkara berkaitan perumahan dan tanah;

iv. Menyediakan bantuan bagi menaik taraf rumah kos rendah dan PPR untuk memenuhi penambahan bilangan isi rumah;

v. Melabur dalam kemudahan awam di sekitar pangsapuri bagi memastikan keseimbangan dan persekitaran yang sihat.

vi. Menggalakkan ketelusan dan persaingan dalam sektor kewangan untuk membuat pinjaman perumahan lebih mudah dan mampu dinikmati.

vii. Bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyemak dasar perumahan dan memastikan perumahan kos rendah mampu milik disediakan untuk mereka yang memerlukannya.

H- Prasarana dan Kemudahan Awam

Penyediaan dan penyenggaraan prasarana awam yang baik merupakan tanggungjawab kerajaan. Perlaksanaannya mestilah tidak membebankan rakyat atau menguntungkan kroni tertentu. Prasarana dan kemudahan awam yang baik membolehkan rakyat Malaysia meningkatkan pendapatan boleh belanja dan produktiviti mereka.

Pakatan Rakyat akan:

i. Menjamin bekalan air bersih dan tarif elektrik dengan harga yang berpatutan kepada setiap keluarga di Malaysia.

ii. Merunding semula segala perjanjian tol dan mengkaji pembelian balik lebuhraya PLUS dengan matlamat melupuskan tol dalam jangka masa 7 tahun.

iii. Meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam melalui penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam yang terdiri daripada pihak kerajaan dan wakil masyarakat.

iv. Memperkenalkan sistem separuh tambang bagi warga emas, orang kurang upaya, pelajar dan pesara untuk semua jenis pengangkutan awam.

v. Menyemak semula pemberian permit teksi kepada syarikat-syarikat besar dengan keutamaan kepada pengusaha individu dan persatuan mereka.

vi. Menyediakan perkhidmatan talian jalur lebar tanpa wayar yang cekap secara percuma untuk mengurangkan jurang digital.

I- Alam Sekitar

Alam sekitar merupakan khazanah negara yang wajib dipelihara untuk kelestarian hidup generasi masa depan. Mendepani krisis perubahan iklim, Pakatan Rakyat beriltizam:

i. Membudayakan amalan kitar semula dengan menyediakan prasarana dan sistem yang menyeluruh.

ii. Memastikan segala aktiviti pembalakan dan penebangan hutan dijalankan secara terkawal.

iii. Membina asas dan kemahiran teknologi bagi untuk melicinkan peralihan kepada penggunaan sumber tenaga alternatif.

iv. Mengawal sebarang pembinaan di lereng bukit dan kawasan-kawasan berbahaya.

v. Merendahkan kadar pelepasan karbon selaras dengan piawaian antarabangsa dan meningkatkan daya sistem ekologi untuk menyerap karbon.

3. Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan

A – Perpaduan dan Keadilan Sosial

Pakatan Rakyat bertekad untuk menyemai persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berteraskan prinsip memelihara kepentingan bersama. Perpaduan negara mesti mencerminkan kesepakatan, persefahaman serta muafakat sejati antara kaum, budaya dan agama. Pakatan Rakyat berjanji membina semula sebuah masyarakat berbilang kaum yang padu, di mana kaum-kaum yang berbeza itu hidup dalam aman dan harmoni.

Pakatan Rakyat akan:

i.Memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki hubungan kaum dan agama yang telah rosak.

ii. Mengembeling tenaga semua pihak yang berkepentingan untuk menyuburkan sikap baik-sangka, saling hormat dan mempercayai yang memang telah begitu lama diamalkan rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

iii. Menggubal Akta Perhubungan Kaum bagi menjamin kerukunan dan keharmonian rakyat serta tiadanya lagi diskriminasi antara kaum.

iv. Pakatan Rakyat akan menjana sokongan setiap peringkat masyarakat supaya berpegang teguh kepada segala prinsip dan petunjuk yang wajar dipegang oleh sebuah masyarakat yang terbuka

v. Menghapuskan amalan politik perkauman melalui pelbagai cara termasuk pendidikan, media massa, dialog dan perundingan.

vi. Memupuk budaya Malaysia berasaskan nilai moral dan citra unggul yang boleh diterima semua kaum. Ini memerlukan sikap terbuka terhadap kepelbagaian budaya yang dianuti pelbagai kaum dan puak di Malaysia. Pakatan Rakyat akan melakukan semua ini dengan mengambil kira sejarah dan evolusi negara ini.

vii. Meningkatkan kebajikan Orang Asli, Orang Asal dan golongan minoriti lain di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak selain mempertahankan hak asasi, ekonomi dan sosial mereka.

B – Agama

Agama dan anutan kepercayaan rakyat Malaysia seharusnya menjadi asas kesepakatan berlandaskan nilai murni yang bersifat sejagat. Rakyat Malaysia kini hampir tergelincir ke dalam kawah yang mendidih didorong angkara yang menyebabkan perpecahan dan ketegangan kerana berlainan agama. Tidak sewajarnya ada pertikaian mengenai hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang menganuti sistem demokrasi di mana agama Islam menduduki tempat istimewa sebagai agama persekutuan sementara hak agama-agama lain dijamin.

Pakatan Rakyat berikrar:

i. Mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan dan menjamin hak kebebasan beragama setiap rakyat Malaysia.

ii. Menganjur dialog dan rundingan antara peradaban untuk mengukuhkan persefahaman.

iii. Menubuhkan mekanisme yang menyeluruh untuk memberi penyelesaian yang adil dalam kes-kes yang melibatkan pertindihan sistem perundangan sivil dan syariah, termasuk sebuah Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji semua isu-isu berkaitan dengan mendalam.

iv. Memperkukuhkan pengurusan institusi Islam seperti Baitul Mal dan Tabung Haji bagi memastikan ia dikendalikan dengan berkesan, cekap dan memenuhi matlamat.

v. Memastikan kawasan yang sesuai untuk tempat ibadat dan pusara bagi semua penganut agama.

C – Pendidikan

Pendidikan seharusnya bermatlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, jasad dan intelek. Melalui sistem pendidikan negara, Pakatan Rakyat bertekad untuk menyediakan sebuah sistem pendidikan yang mapan, bermutu dan menjamin peluang yang saksama kepada rakyat.

Pakatan Rakyat akan:

i. Menjadikan sekolah kebangsaan sebagai peneraju sistem pendidikan negara. Memastikan sokongan dan pembiayaan secara adil kepada sekolah-sekolah agama rakyat, sekolah kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah mubaligh, sekolah vokasional dalam usaha bersama untuk meningkatkan taraf pendidikan negara.

ii. Mengimbangi penekanan kepada sistem peperiksaan dengan sistem pembelajaran berasaskan pemikiran kritis dan analitikal dengan matlamat mencari kebenaran.

iii. Memastikan setiap pelajar yang berkelayakan mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam tanpa mengira latar belakang.

iv. Meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974 demi mewujudkan iklim yang kondusif dalam bentuk jaminan kebebasan akademik dan autonomi universiti ke arah mempertingkatkan mutu pendidikan setanding dengan negara-negara maju.

v. Memastikan perlantikan naib canselor, rektor, dan lain-lain penjawat tertinggi akademik dilakukan berdasarkan kelayakan dan kelulusan Majlis Senat.

vi. Memperbaiki mutu dan kemudahan sekolah yang daif di pedalaman di Sabah dan Sarawak;

vii. Meningkatkan mutu pendidikan guru bagi setiap peringkat sekolah dan menambah jumlah guru terlatih mengikut permintaan.

viii. Menyediakan peluang latihan peringkat tinggi untuk guru dan pensyarah supaya pengetahuan dan kemahiran profesional mereka sentiasa selaras dengan masa.

ix. Mengkaji kembali skim perkhidmatan guru dan menambah skim rangsangan bagi mereka yang mengajar di pedalaman.

x. Menyediakan biasiswa berasaskan merit dan bantuan kewangan lain berasaskan keperluan dengan keutamaan kepada pelajar miskin dari kawasan luar bandar dan pedalaman.

xi. Menekankan betapa mustahaknya pelajar menguasai pelbagai bahasa termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Bahasa Cina sebagai bahasa-bahasa utama dunia dan juga bahasa-bahasa ibunda.

xii. Menyediakan tempat dan latihan kepada mereka yang keciciran.

xiii. Meluaskan skop Lembaga Pentauliahan Kebangsaan untuk memantau dan mencadangkan pengiktirafan sijil, diploma dan ijazah dari dalam dan luar negara yang memenuhi piawaian akademik yang boleh diterima termasuklah sijil UEC dan Diploma Muadalah(diploma berkembar).

D – Wanita Dan Institusi Keluarga

Pakatan Rakyat meyakini bahawa dasar-dasar yang mencerminkan penghormatan, pengiktirafan dan pemahaman terhadap status dan potensi wanita dapat menjamin kesejahteraan masa hadapan negara. Hakikat ini kerana wanita mewakili separuh dari penduduk negara, justeru penyertaan mereka dalam proses pembangunan negara tidak boleh diabaikan.

Pakatan Rakyat akan:

i. Menggubal akta bagi memastikan golongan wanita mendapat layanan dan yang adil dalam segala bidang.

ii. Memberi penekanan ke arah meningkatkan Kadar Guna Tenaga bagi Wanita kepada tahap 60% dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding 46% sepanjang tempoh 20 tahun yang lalu.

iii. Memperuntukkan 30% perwakilan wanita dalam semua barisan pimpinan politik dan kerajaan.

iv. Menangani segala bentuk keganasan terhadap wanita dan anak-anak dengan hukuman yang lebih berat dijatuhkan ke atas pesalah serta memastikan keberkesanan pusat krisis di setiap hospital dan balai polis.

v. Memastikan kewujudan sistem sokongan dan bantuan seperti pusat jagaan kanak-kanak dan sebagainya untuk ibu yang bekerja di pejabat kerajaan dan sektor swasta.

vi. Memberikan bantuan untuk meringankan beban keluarga ibu tunggal yang miskin dan memerlukan.

vii. Mengambil kira perspektif gender dalam merangka belanjawan dan dasar-dasar negara.

viii. Memperkenalkan program kepekaan jantina ke dalam kurikulum sekolah.

ix. Mengiktiraf peranan suri rumah di dalam pengukuhan institusi keluarga dan sumbangannya kepada pembangunan masyarakat dan negara.

E – Golongan Muda

Hala tuju dan kemakmuran sesebuah negara terletak pada bahu golongan muda sebagai generasi pelapis. Justeru adalah penting agar golongan muda diberikan ruang dan sokongan yang secukupnya agar dapat memenuhi peranan mereka kelak.

Pakatan Rakyat akan:

i. Menjamin peluang dan hak sama rata serta adil untuk golongan muda dari seluruh lapisan masyarakat bagi merealisasikan potensi diri.

ii. Memastikan supaya tiada seorang belia akan dibiarkan mengakhiri pendidikannya tanpa peluang memperolehi kelayakan atau latihan yang secukupnya untuk menyumbang terhadap ekonomi kemahiran tinggi negara.

iii. Mengiktiraf kepentingan peranan dan sumbangan oleh golongan muda melalui perkongsian pendapat secara jujur dengan gerakan-gerakan belia, khususnya dalam isu berkepentingan ke atas kehidupan mereka serta hala tuju negara.

F – Keselamatan

Terdapat peningkatan jenayah dan rasa tidak selamat di negara ini. Walhal rakyat Malaysia seharusnya berhak merasa selamat dan bebas dari ancaman jenayah pada setiap masa. Pakatan Rakyat bertekad memastikan pihak polis diurus, dilatih dan dikawalselia dengan lebih baik untuk menjadikan mereka lebih fokus tentang tanggungjawab utama yakni menentukan setiap kawasan dan rakyat Malaysia berada dalam keadaan aman dan selamat.

Pakatan Rakyat akan:

i. Menjadikan polis bebas dan profesional serta mengembalikannya kepada misi asal untuk mencegah jenayah dan memastikan keselamatan awam

ii. Merombak pengagihan tenaga polis supaya bilangan tenaga polis yang cukup ditugaskan untuk membanteras jenayah.

iii. Melengkapkan pihak polis dengan peralatan dan latihan yang terkini dalam usaha membanteras jenayah.

iv. Melaksanakan semua saranan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis, termasuk penubuhan IPCMC dan penambahbaikan kebajikan polis yang giat berbakti kepada negara.

v. Memperbaiki keadaan perkhidmatan pasukan polis khususnya peringkat bawahan bagi meningkatkan prestasi dan moral.

vi. Memperkukuhkan peranan masyarakat dalam pencegahan dan pembanterasan jenayah melalui program komuniti.

vii. Menangani dengan strategik dan tuntas segala masalah sosial yang menjadi punca kepada jenayah.

G – Kesihatan

Setiap rakyat Malaysia berhak menikmati perkhidmatan kesihatan awam yang terbaik pada kos yang berpatutan. Oleh yang demikian, perkhidmatan kesihatan awam sewajarnya diperkasakan secara tuntas, sekaligus menjamin perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat.

Pakatan Rakyat akan:

i. Menimbangkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam supaya lebih setanding dengan perkhidmatan sektor swasta.

ii. Menjamin perkhidmatan kesihatan awam yang cekap, meluas dan bermutu kepada semua rakyat, pada kadar yang munasabah.

iii. Meningkatkan skim ganjaran untuk kakitangan perubatan di hospital awam.

iv. Memeriksa dengan teliti keadaan kemudahan penjagaan kesihatan yang telah diswastakan bagi melindungi kepentingan rakyat.

H. Kebudayaan

Kepelbagaian adalah hakikat sosio-budaya nasional, yang tercerna daripada kemajmukan masyarakat, bermunculan daripada kaum-kaum utama, suku-suku kaum dan wilayah-wilayah. Oleh itu Pakatan Rakyat mengambil bertanggungjawab untuk memupuk dan mengembangkan potensi kepelbagaian ini di samping menolak sebarang bentuk hegemoni adi-budaya kepada mana-mana sosok budaya yang lain. Ia tidak lain sejajar dengan semangat kemerdekaan negara yang kemudiannya perlu digilap menjadi Muafakat Kebudayaan Baru lanjutan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971). Tiga cabaran utama yang wajar disedari adalah dengan:

i. Menjamin kebebasan pengucapan penghasilan karya melalui semua medium.

ii. Hak untuk mengadakan persembahan atau pertunjukan seni-budaya tanpa sekatan dengan keyakinan awal bahawa setiap pengkarya ada tanggungjawab diri dan sosial mereka.

iii. Pautan utuh terhadap akar kemurnian kebudayaan tradisi sendiri wajar ditambahkuat dengan kesediaan menjadi tidak canggung untuk menerima unsur murni kebudayaan luar yang bersifat sejagat daripada bangsa, benua dan faham kepercayaan manapun.

4. Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara

A – Sistem Persekutuan

Hak negeri-negeri untuk membuat pilihan mengikut kesesuaian sendiri mengenai strategi pembangunan negeri mesti dihormati. Teras kepada hak ini adalah peruntukan kewangan yang secukupnya kepada negeri-negeri berdasarkan sumbangan terhadap persekutuan serta keperluan rakyat.

Pakatan Rakyat akan:

i. Menjamin royalti sebanyak 20% daripada hasil petroleum kepada kerajaan negeri dengan matlamat membasmi kemiskinan di kalangan rakyat.

ii. Memulangkan sebahagian daripada kutipan cukai dari setiap negeri kepada negeri tersebut berdasarkan pengagihan yang adil.

iii. Menambah geran per kapita untuk negeri-negeri.

B – Sabah dan Sarawak

Semangat Perjanjian Malaysia 1963 akan dijadikan asas kepada hubungan adil antara Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak. Di samping memulihkan imbangan kuasa
yang memihak kepada kerajaan pusat sebelah, Pakatan Rakyat berjanji membuat penilaian yang adil dan terbuka mengenai persoalan pokok yang kini menghalang kemajuan politik dan sosioekonomi di kedua-dua negeri di Malaysia Timur.

Pakatan Rakyat akan:

i. Memastikan khazanah negeri Sabah dan Sarawak dinikmati sepenuhnya oleh rakyatnya dengan memperuntukkan royalti 20% daripada pendapatan petroleum mereka.

ii. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja demi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk isu pendatang asing.

iii. Menjamin hak Tanah Adat Orang Asal tidak dicabuli oleh mana-mana pihak.

iv. Menghentikan dengan serta-merta penindasan terhadap rakyat kawasan pedalaman akibat kegiatan ekonomi yang tidak beretika.

C – Dasar Luar Negara

Kepimpinan Malaysia di kalangan negara-negara dunia mesti dipertingkatkan. Adalah menjadi matlamat kita untuk merangka satu dasar luar yang berasaskan prinsip keadilan sejagat, penyelesaian melalui perundingan, dialog antara peradaban demi keselamatan, keamanan dan kemakmuran.

Pakatan Rakyat akan:

i. Memelihara kepentingan negara dengan menjadi warga dunia yang bertanggungjawab di dalam menghormati hak asasi, memelihara prinsip-prinsip demokrasi dan menjunjung permuafakatan, perjanjian, pengisytiharaan dan persetujuan antarabangsa, yang sejajar dengan nilai-nilai keadilan.

ii. Aktif menjadi pelopor dan peneraju dialog antara peradaban.

iii. Mengukuhkan kerjasama diplomatik dan perdagangan antarabangsa dengan rakan-rakan serantau terutamanya anggota-anggota Asean.

iv. Memperkukuhkan lagi peranan Malaysia dalam organisasi-organisasi antarabangsa.

*Dasar Pakatan Rakyat yang dibentangkan di Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama, 19 Disember 2009 di Auditorium MBSA Shah Alam, Selangor.

'Kontraktor OKU' punca binaan runtuh: NGO


Kebanyakan projek berkualiti rendah di Terengganu, sehingga menyebabkan strukturnya runtuh, didakwa dimajukan oleh "kontraktor OKU (orang kuat Umno)", syarikat yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin kerajaan negeri.

Projek tersebut termasuklah pembinaan terminal pengangkutan awam bernilai RM4.2 juta di Kuala Berang yang terjejas apabila sebahagian bumbungnya runtuh semalam.

"Kita panggil kontraktor ini kontraktor OKU atau Orang Kuat Umno," kata presiden Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT), Mohamad Fauzi Abu Samah.

"Kontraktor ini rapat dengan (orang) politik, itulah yang menjadi masalah bila dibuat bukan untuk kepentingan rakyat tetapi untuk kepentingan politik," katanya lagi.

Beliau diminta mengulas insiden struktur bangunan runtuh yang kerap terjadi di negeri itu tahun ini selepas bumbung stadium, yang baru disiapkan dengan harga RM300 juta, ranap awal Jun lepas.

Selain itu, bumbung sebuah masjid di Kemaman yang dilaporkan berharga RM2.1 juta runtuh awal Oktober lalu.

Pusat Akuatik di Batu Burok yang bernilai RM19 juta pula mengalami kebocoran kolam sehingga ia terpaksa ditutup Julai lalu.

Mohamad Fauzi menambah, kontraktor-kontraktor terlibat perlu bertanggungjawab sekiranya mereka didapati gagal mematuhi prosedur sehingga menyebabkan runtuhan struktur berkenaan.

"Apa lagi bila ini melibatkan soal keselamatan. Siasatan perlu dibuat sekiranya kontraktor tidak mematuhi garis panduan keselamatan," katanya.

"Kita diberitahu kontraktor ini dapat kelulusan segera dan tidak ada pemantauan dibuat semasa pembinaan oleh pihak berkuasa."

MAMPAT merancang membawa isu tersebut kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), seawal-awalnya minggu depan, selain sedang mengumpulkan maklumat mengenai kesemua projek BN yang berkualiti rendah dan menghadapi masalah di negeri tersebut.

Laporan tersebut dijangka turut memuatkan butiran mengenai projek 20 unit gerai di Batu Enam dekat Kuala Terengganu bernilai RM1.52 juta yang siap dibina Ogos lepas di atas rizab jalan seperti diwartakan dalam draf pembangunan kawasan berkenaan.

"Sekarang (struktur itu) sudah hendak diruntuhkan kerana jalan tersebut ingin diperluaskan (pada 2012). Jadi kenapa gerai ini perlu dibina (pada asalnya)?" katanya.

"Adakah ini projek untuk menghabiskan peruntukan semata-mata? Kalau kita tengok bahagian konkrit bangunan itu, (kebanyakannya) hanya pasir dan kawasan letak kereta pun tidak ada."

Sumber:Malaysiakini

Wednesday, December 16, 2009

Brengsek Punya MP Pakatan Rakyat!!


Note: * Dilarang untuk menghadiri Parlimen



Apalah punya brengseknya 20 orang wakil rakyat PR itu. Gara-gara mereka tidak hadir di Dewan Rakyat malam tadi, satu catatan sejarah penting negara yang hampir terlakar tidak menjadi kenyataan.

Malam tadi, sekitar jam 10.45 malam, Najib dan kerajaan 1Malaysianya hampir dimalukan apabila usul untuk meluluskan Bajet 2010 di Dewan Rakyat menyaksikan BN cuma menang dengan majoriti tipis 3 undi berbanding Pakatan Rakyat. Sebelum itu, usul bagi perbekalan untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang dikira lebih awal iaitu sekitar jam 10.30 malam menyaksikan ia diluluskan hanya dengan 1 undi majoriti, iaitu 60 di pihak Pakatan Rakyat dan 61 di pihak BN.

Najib sendiri dikatakan kelihatan begitu cemas sebelum proses pengundian yang dikenali sebagai “belah bahagi” Bajet 2010 itu berlangsung, kerana jika kalah, di mana hendak 'diletakkan kemaluan'nya? (maaf...bukan nak mencarut, tapi sengaja guna bahasa klasik peninggalan nenek moyang kita). Najib yang resah dikatakan terkodek-kodek mundar mandir mengerah semua MP BN yang ada untuk masuk ke Dewan segera. Mujur BN menang tipis, menang 3 undi, jika tidak...alahai habislah Najib!

Ada yang melaporkan sepatutnya BN tewas dalam pengundian itu, tapi diselamatkan dengan kehadiran beberapa orang senator yang sepatutnya tidak boleh mengundi, kerana mereka cuma ahli Dewan Negara dan bukan ahli Dewan Rakyat. Selain itu, untuk memastikan BN tidak tewas, dua timbalan speaker (Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Ronald Kiandee) terpaksa duduk di tempat MP bagi dikira sekali undian mereka. Ada pula yang berkata sistem pengundian primitif yang bukan berdasarkan perkiraan elektronik itu telah disalahgunakan oleh Speaker Dewan, Tan Sri Pendekar Amin Mulia yang membacakan keputusan kemudiannya, sedangkan Setiausaha Dewan sendiri nampak gelabah apabila meneliti keputusan di tangannya. Benarkah keputusan di tangan Speaker ditambah dan dikurangkan oleh Speaker?

Yang menghairankan, ke mana menghilangnya 5 MP PAS serta 15 MP dari PKR dan DAP yang tidak nampak batang hidung mereka pada malam tadi? Jika mereka hadir, sama ada kemasukan 2-3 senator dan 2 orang Timbalan Speaker tidak akan membawa arti apa-apa erti lagi kepada BN yang pasti tewas malam tadi.

Justru ke mana menghilangnya 20 MP PR itu? Brengsek, jika mereka sakit, jika bini mereka sakit nak bersalin, jika emak bapa mereka sedang nazak, ia alasan yang boleh diterima, tapi sebenarnya ke mana mereka menghilang? Brengsek, bercuti ke luar negarakah di saat-saat penting ini? Andainya ketiga-tiga general PR: DS Anwar, TG Haji Hadi dan Lim Kit Siang boleh berada sepanjang malam di Dewan, yang 20 ekor itu pergi mana?

Harap Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang dapat memberitahu pengundi dan penyokong PR siapa 20 MP brengsek yang tidak hadir malam tadi itu dan apa sebab mereka tidak hadir. Pengundi dan penyokong PR berhak tahu ke mana mereka yang menafikan lakaran sejarah negara itu tercatat malam tadi menghilang, ketika khidmat mereka sangat-sangat diperlukan. Jika mereka ketika itu sedang berada di rumah tanpa sebab atau sedang memimpin tangan bini nombor dua di mana-mana majlis, tahulah rakyat menghukum mereka dalam PRU ke-13 kelak!

Nota: brengsek - perkataan Indonesia bermakna celaka.

Monday, December 14, 2009

DSAI: Awas!!!!!!!! jangan berani sentuh TGNA

KULIM, 13 Dis: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada sesiapa sahaja yang cuba menyentuh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mendapat tentangan hebat daripada ratusan ribu rakyat yang menyokong beliau.

Menurut Anwar lagi dalam isu yang menyentuh kedudukan Nik Aziz sebagai Menteri Besar dan keupayaan beliau mentadbir negeri Kelantan tidak harus dipertikaikan oleh Umno dan Barisan Nasional.

"Saya ingatkan kepada semua sekiranya Tuan Guru, Datuk Nik Aziz disentuh oleh mereka kita tidak akan teragak-agak untuk bangun bukan saja daripada Kelantan malah Kedah dan seluruh negara akan turut sama mempertahankan Tuan Guru kita.

"Jika isu royalti minyak yang sememangnya perlu diberikan kepada Kelantan mereka nafikan. Kemudian isu untuk mengerjakan haji ke Baitullah untuk beribadat pun mereka pertikaikan terhadap Menteri Besar Kelantan.

"Apakah kita mahu biarkan lagi mereka yang tidak tahu menilai dan membezakan antara rasuah dan ibadah ini berterusan mencelarukan masyarakat.

"Sudah pasti tidak. Oleh kerana itu kita tunjukkan sokongan kita dengan memberi pengajaran kepada Umno dan Barisan Nasional dengan menolak kepimpinan mereka," katanya.

Kenyataan Anwar itu disambut dengan tepukan gemuruh daripada ribuan hadirin yang membanjiri Stadium Mini Keladi tersebut.

Dalam ucapan tersebut Anwar juga membidas tindakan media arus perdana yang sengaja memutarbelitkan fakta dengan tidak menceritakan keadaan sebenar yang berlaku.

"Apa yang berlaku tidak dinyatakan dengan benar oleh media mereka.Bagi mereka berita yang sememangnya benar tetapi tidak menyebelahi mereka tidak akan menjadi laporan utama.

"Tetapi sekiranya berita tersebut walaupun kecil tetapi dapat mereka sensasikan maka itu akan menjadi tajuk utama mereka."

Anwar berkata demikian semasa melancarkan ceramah tanpa henti selama 40 hari seluruh negara anjuran PKR yang telah diadakan di Stadium Mini Keladi, Klang Lama, Kulim.

Turut hadir ialah Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Tian Chua, Ahli Parlimen Padang Serai, N.Gobalakrishnan, Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves, Amiruddin Shaari. Ahli Parlimen Kulim- Bandar Bharu, Zulkifly Noordin dan kepimpinan Pakatan Rakyat Kedah dan Pulau Pinang.

Saturday, December 12, 2009

Pakatan Rakyat jangan ikut rentak BN

Masyarakat umum memahami penggabungan parti-parti politik pembangkang, walaupun tidak secara formal tetapi dampaknya agak berkesan untuk menentang rejim Umno atau BN.

Dengan menggunakan konsep satu lawan satu yang dipraktikkan pada pilihan raya umum ke-12, ia agak berjaya dan hasilnya "Pakatan Rakyat" menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen, selain "menakluk" lima buah negeri (termasuk Perak).

Melihatkan sambutan rakyat terhadap kesepakatan tersebut, ia diteruskan dengan pembahagian kerusi-kerusi exco kerajaan negeri, dan sebarang perbezaan pendapat antara parti-parti tersebut cuba dikurangkan.

Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, DAP dan PAS berbeza dengan gabungan-gabungan sebelumnya seperti Barisan Alternatif, atau Gagasan Rakyat.

Barangkali mood pengundi semasa pilihan raya umum lalu memainkan peranan penting, menyebabkan Pakatan Rakyat terus diilhamkan dan mungkin dapat direalisasikan jika diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) nanti.

Perbezaan kali ini, ia cuma dianggotai oleh tiga parti pembangkang utama. Undang-undang untuk menubuhkan gabungan seperti BN, seperti pernah disebut-sebut orang, memerlukan sekurang-kurangnya tujuh parti politik.

Bagaimanapun, pada pilihan raya kecil Bagan Pinang, ROS menyebut peraturan sedemikian hanya terpakai jika parti politik tersebut tidak didaftar di peringkat nasional.

Kenyataan ini bermakna Pakatan Rakyat berhak untuk didaftarkan tanpa "karenah birokrasi" seperti yang pernah berlaku pada Gagasan Rakyat dan Barisan Alternatif dahulu.

Tanpa menunggu lama, PKR, DAP dan PAS sudah memulakan langkah ke arah pendaftaran rasmi.

Draf kini di peringkat akhir untuk diperbincangkan dan dipercayai ia sudah mula menggerakkan langkah ke arah itu - memungkinkan ia dirasmikan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Mungkin ada sesetengah pihak terlepas pandang, terdapat juga parti-parti pembangkang yang mempunyai arah tuju yang sama dengan Pakatan Rakyat seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Demokratik Malaysia (MDP).

Namun parti-parti ini tidak termasuk dalam gagasan "Pakatan Rakyat".

Adakah mungkin disebabkan para pemimpinnya seperti Dr Nasir Hashim (PSM) dan Wee Choo Keong (MDP) telah bertanding dan menang menggunakan lambang PKR, maka mereka berdua dianggap sebahagian pemimpin PKR?

Adakah disebabkan pengaruh dalaman bekas pemimpin PRM yang kini berada dalam PKR, maka sebarang kerjasama politik dengan PRM tidak mungkin, parti yang dianggap "telah" bergabung dengan Parti Keadilan Nasional untuk membentuk PKR?

Mahkamah baru-baru memutuskan bahawa PRM tidak dibubar dan masih kekal wujud.

Kenapa tidak diperluaskan prinsip gabungan "Pakatan Rakyat" ini kepada semua parti pembangkang itu tadi (PSM, PRM atau MDP) yang mempunyai tujuan dan matlamat utama yang sama iaitu menumbangkan Umno atau BN walaupun berkemungkinan berlainan ideologi.

Bukankah PAS DAP atau PKR juga berlainan idelogi?

Timbul persoalan, adakah Pakatan Rakyat hanya bersandarkan matlamat "kuasa" - yakni dengan hanya memenangi kerusi DUN dan kerusi parlimen di luar kerajaan Umno-BN telah memberikan DAP, PAS dan PKR "kuasa tawar-menawar" untuk berkongsi bawah satu bumbung "Pakatan Rakyat"?

Keadaan ini amat jelas apabila kita rujuk kenyataan bersama tiga parti ini atau pelantikan ahli-ahli majlis tempatan di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat. Hanya tiga parti ini sahaja ditimbulkan.

Saya sebagai pemerhati politik dari selatan tanahair berpendapat, perkembangan ini amat tidak baik kerana menunjukkan parti-parti lain, yang tidak mempunyai kuasa atau tanpa memenangi kerusi, tidak perlu dijemput atau diajak "bersatu".

Jika keadaan ini berlanjutan, seperti juga pada pilihan raya umum lalu, masih terdapat pertembungan tiga pihak di sejumlah kecil kerusi seperti di Selayang (BN, PKR dan PRM) dan di Stulang (BN, DAP dan PRM).

Menurut sumber yang berwibawa, pemimpin parti-parti kerdil seperti PSM, PRM dan MDP telah terasa seperti dipinggirkan oleh Pakatan Rakyat.

Amatlah tidak enak mata memandang jika masih berlaku pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Ia hanya akan menguntungkan BN.

Akhirnya punca kegagalan menumbangkan BN bukan faktor mood pengundi tetapi angkara ketidaksepakatan parti pembangkang sendiri.

Istilah "Pakatan Rakyat" masih kabur untuk difahami pengundi menjelang pilihan raya umum akan datang.

Jika "kuasa" - dan bukannya "rakyat" - menjadi asas kepada gabungan tiga parti besar itu, tidak mustahil "Pakatan Rakyat" akan turut menari mengikut rentak pemerintahan BN.

Bukan soal pokok Anwar dipenjara

Slogan 1Malaysia sudah diserapkan kepada seluruh kakitangan kerajaan. Lambang 1Malaysia sudah dibuat logo yang terlekat di dada kiri setiap kakitangan kerajaan.

Sewaktu diumumkan oleh Najib Razak, bahawa 1Malaysia bertujuan "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan", kita pun berfikir, memberi andaian dan menjangkakan bahawa kempen ini satu lagi projek besar-besaran BN yang membawa keuntungan kepada seluruh rakyat Malaysia. Rupa-rupanya jauh meleset.

Hingga ke hari ini, para pemimpin Umno buat ribut-ribut tentang 1Malaysia. Ke sana sini ia menjadi bahan ucapan mereka.

Hasilnya masih kabur. Ia tidak lain tidak bukan sebuah lagi cogan kata yang baru berjenama Umno untuk menyatupadukan kefahaman rakyat kepada ikatan perpaduan dalam Umno itu sendiri.

Ia sama seperti Umno bersama parti Perikatan (sebelum BN) dulu dan Umno bersama BN sekarakang - tujuannya sama, untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dalam kerangka BN.

1Malaysia itu cuma satu pembaharuan semangat dengan cogan kata baru demi BN dan Umno yang hampir kehilangan kuasa dan kepercayaan pengundi muda pada pilihan raya umum 2008. Selain itu apa?

Untuk rakyat, kenaikan petrol masih membebankan, yuran sekolah anak-anak, kos hidup mereka, cukai barangan, cukai pintu rumah dinaikan. Semua ini membebankan para pengundi miskin yang telah memberi mandat kepada kerajaan Umno dan BN memerintah.

Tetapi pengundi-pengundi ini terus dibebankan.

Untuk berkuasa, para pemimpin Umno sanggup berbuat apa sahaja termasuk terus membujuk PAS menyertai kerajaan perpaduan. Kalau Anwar Ibrahim menjadi faktor kekuatan Pakatan Rakyat, beliau juga harus dihancurkan.

Tidak hairan dengan kes liwat Anwar yang baru kerana pengaruhnya dalam Pakatan Rakyat dianggap oleh para pemimpin Umno sebagai luar biasa. Ia boleh menggugat Umno dan BN daripada terus berkuasa selepas pilihan raya umum ke-13 nanti.

Dalam fikiran pengundi hari ini, mereka sudah terfikir, kalau institusi penting seperti polis atau badan pencegahan rasuah boleh diatur oleh pemimpin kerajaan, kenapa pula Anwar tidak boleh dimasukkan ke penjara (sekali lagi)?

Pengundi nampak kes terbaru Anwar akan mengulangi trend yang dibuat Dr Mahathir Mohamad dulu.

Sebenarnya, Anwar bukanlah faktor utama untuk Umno dan BN itu lemah. Sama ada Anwar di dalam atau di luar penjara, bukanlah soal pokok.

Yang penting, pengundi sendiri sudah bosan dengan tekanan hidup dan kerana itu mereka sendiri yang mahu berubah apabila Umno tidak tahu untuk berubah.