Tuesday, March 30, 2010

Apco: Anwar gesa tubuh s'jaya siasatan diraja

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menuntut supaya kerajaan segera membatalkan kontrak perkhidmatan Apco Inc dan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat skandal yang disifatkan sebagai mencalar maruah negara.

Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata beliau bimbang kerana kerajaan mengambil sikap membisu terhadap dakwaan penglibatan Apco, sedangkan maklumat strategik negara telah terjejas apabila kerajaan melantik syarikat perunding komunikasi itu.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Anwar turut mendedahkan nama dan maklumat ringkas beberapa individu dalam Apco yang didakwa mempunyai hubungan secara langsung dengan kerajaan dan tokoh-tokoh Israel.

"Isu ini membongkar rundingan sulit pihak tertentu hingga maklumat strategik negara terdedah kepada ejen Israel dan tercalarnya maruah umat Islam di negara ini," katanya.

Turut didedahkannya ialah peranan Ethos Consulting, sebuah firma rundingan tempatan yang didakwa bertanggunjawab memperkenalkan Apco kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau turut mengemukakan dua perjanjian untuk menyokong dakwaannya - satu perjanjian antara Apco dan kerajaan Malaysia. Yang satu lagi ialah perjanjian antara kerajaan Israel dengan Apco ketika Ehud Barak mengetuai angkatan tentera Israel.

Katanya lagi, kontrak dengan Apco ditandatangani pada 4 Ogos 2009 dengan tugas khusus untuk memperbaiki imej Malaysia di luar negara.

"Ini aneh bagaimana kerajaan tandatangan dengan syarikat. (Proses menandatangani perjanjian) ini disaksikan setiausaha akhbarnnya sendiri, Datuk (Tengku) Sharifuddin (Tengku) Ahmad. Biasanya (kontrak) ditandatangi oleh pegawai kerajaan," katanya.

Anwar membuat penjelasan itu bagi menjawab tuntutan yang dikemukakan wakil Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini yang mahu Anwar dirujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen kerana menyamakan slogan 1Malaysia dengan 1Israel.

Timbalan speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar kemudiannya berkata, usaha untuk merujuk Anwar ke jawatankuasa itu perlu dibuat secara usul untuk dijadikan sebagai salah satu daripada aturan mesyuarat.

Monday, March 29, 2010

Bantu saya jayakan misi bersama Pakatan Rakyat - Nik Aziz

KOTA BHARU, 29 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kenyataan pertamanya selepas dipilih semula sebagai Mursyidul Am meminta semua pihak dalam PAS agar membantu beliau bagi menjayakan misi parti bersama dengan Pakatan Rakyat.

"Saya berharap agar seluruh kepimpinan PAS di pelbagai peringkat akan terus memberikan komitmen di dalam menjayakan misi parti bersama-sama Pakatan Rakyat," kata beliau dalam kenyataan bertulis yang dihantar kepada media sekejap tadi.

Kenyataan ini dibuat beliau selepas dipilih sekali lagi sebagai Mursyidul Am dalam mesyuarat kedua Majlis Syura Ulamak PAS pagi tadi. Turut dipilih semula adalah Datuk Dr Haron Din sebagai timbalannya.

Dalam kenyataan itu beliau berkata, "menyedari harapan ahli dan semangat serta kepercayaan Majlis Syura, maka dengan lafaz bismillah, saya menerima amanah ini dengan doa agar Allah Subhanahu wataala sentiasa memandu saya di dalam mengemudi hala tuju parti."

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:-


KENYATAAN RASMI
YAB TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
MENTERI BESAR KELANTAN

PERLANTIKAN SEMULA SEBAGAI
AL-MURSYIDUL AM PAS

• Saya telah dimaklumkan mengenai perlantikan semula saya sebagai Al-Mursyidul Am bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk sesi 2010-2015 sebagaimana yang telah diputuskan di dalam mesyuarat kedua Majlis Syura pada hari ini, jam 10 pagi pada hari ini, 29 Mac 2010.

• Sukacita saya ingin merakamkan terima kasih kepada kepimpinan PAS Pusat di atas kepercayaaan diberikan kepada saya bagi memikul amanah yang berat ini. Ia juga adalah satu cabaran bagi saya untuk terus memberikan khidmat sebagai Al-Mursyidul Am menurut apa yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS.

• Namun, saya anggapkan ia sebagai ketentuan Allah Subhanahu wataala kerana kemampuan saya untuk menjalankan tugas ini amat bergantung kepada masa dan keupayaan serta keadaan kesihatan saya. Bahkan pada pagi ini pun, saya baru saja menghadiri sesi pemeriksaan doktor di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

• Seperti yang telah saya tegaskan sebelum ini, bahawa saya tidak mempunyai sebarang halangan untuk menerima pelantikan ini sekiranya Majlis Syura berpandangan untuk terus memberi kepercayaan kepada saya. Saya sifatkan itu adalah keputusan ‘syura’ yang bakal membantu saya memikul amanah ini. Lebih-lebih lagi di dalam mempersiapkan upaya parti menghadapi pilihanraya umum yang ke-13 nanti.

• Menyedari harapan ahli dan semangat serta kepercayaan Majlis Syura, maka dengan lafaz bismillah, saya menerima amanah ini dengan doa agar Allah Subhanahu wataala sentiasa memandu saya di dalam mengemudi hala tuju parti.

• Saya berharap agar seluruh kepimpinan PAS di pelbagai peringkat akan terus memberikan komitmen di dalam menjayakan misi parti bersama-sama Pakatan Rakyat.

Semoga kerjasama dan husnul-zhon (sangka baik)dari semua kepimpinan, saya yakin PAS akan terus menjadi parti yang perkasa dan Insya-Allah PAS di Kelantan bersama-sama PAS di seluruh Negara akan terus utuh bersama-sama rakan-rakan Pakatan Rakyat dalam mendepani cabaran politik baru di Malaysia hari ini.

Sekian, wassalam.


TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 29 Mac 2010

Sumber : Harakahdaily

Lim: RM52 billion saham bumiputera hilang

Ahli parlimen Bagan yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini meminta penjelasan di Dewan Rakyat mengenai RM52 billion saham bumiputera yang dilaporkan 'hilang' daripada tangan bumiputera di Bursa Kuala Lumpur.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Lim berkata permohonan penjelasannya itu dibuat berdasarkan sebuah artikel yang disiarkan oleh Bernama yang bertarikh 30 Jun 2009.

Menurut laporan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui terdapat perbezaan ketara antara RM54 billion saham bumiputera yang diperuntukan berbanding dengan jumlah sebenarnya yang masih dimiliki mereka.

Dalam laporan itu Najib dipetik sebagai berkata, daripada RM54 billion saham yang diperuntukkan, hanya tinggal RM2 billion yang masih dipegang oleh bumiputera.

Lim menggesa kerajaan menyiasat apa yang berlaku dengan saham berkenaan yang didakwa lazimnya diagihkan kepada kroni BN.

Tuesday, March 23, 2010

Ghapur: Zahrain penipu besar

Ahli parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh, yang dinamakan sebagai satu daripada lapan MP yang akan berpaling tadah kepada pembangkang pada 16 Sept membidas Datuk Seri Zahrain Hashim yang didakwa menipu di Dewan Rakyat.

Bekas MP PKR yang mengisytiharkan dirinya sebagai ahli bebas itu, minggu lalu mendedahkan bahawa Abdul Ghapur yang mewakili Umno Sabah dinamakan antara kumpulan berkenaan.

Menurut Ghapur, Zahrain telah melakukan satu penipuan besar.

Sehubungan itu, beliau mahu ahli parlimen dari Bayan Baru itu segera menarik semula kenyataannya dan menyenaraikan mereka yang dikatakan akan berpaling tadah itu.

Abdul Ghapur juga mencabar Zahrain mendedahkan nama 30 MP yang dikatakan akan menyertai ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rancangan Pakatan Rakyat untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional, jika apa yang didakwanya sebelum ini adalah benar.

Beliau juga memberi amaran kepada Umno agar tidak menerima Zahrain sebagai ahlinya kerana jika bekas ketua PKR Pulau Pinang itu sanggup berpaling tadah terhadap Anwar, dia juga, katanya, suatu hari nanti akan menikam pemimpin BN juga.


Selain Ghapur (kiri), MP dari Sabah yang dinamakan oleh Zahrain ialah Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau) dan Datuk Eric Majimbun (Bebas-Sepanggar).

Nama lain yang disebut ialah Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut) dan Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang).

Zahrain juga mendakwa seorang timbalan speaker juga dikatakan akan menyertai PKR.

Monday, March 15, 2010

Warga emas PP dapat RM100 melalui pos

Bagi memastikan rakyat Pulau Pinang yang berusia 60 tahun ke atas, tidak bersusah-payah berkunjung ke pusat khidmat Adun untuk mendapatkan sumbangan wang RM100 menerusi projek Warga Emas, wang berkenaan akan dikirimkan terus ke alamat penerimanya.

Menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, wang itu akan dikirimkan selepas pelancaran program penghargaan Warga Emas yang bakal dilancarkan di kompleks Masyarakat Penyayang, Ahad ini.

Dalam satu kenyataan medianya, Lim berkata, kerajaan negeri Pakatan Rakyat sentiasa berusaha mendengar suara rakyat, bekerja untuk rakyat dan memberi harapan baru kepada semua.

“Julung kali dalam sejarah Pulau Pinang, warga emas yang berusia 60 tahun ke atas yang bermastautin di Pulau Pinang diberi penghargaan wang tunai sebanyak RM100 setahun.

“Ia adalah hadiah simbolik kerajaan negeri kepada semua warga emas atas sumbangan dan usaha mereka yang membolehkan Pulau Pinang mengecapi kejayaan hari ini, baik dari segi sosio-ekonomi mahupun dalam aspek perpaduan dan harmoni masyarakat majmuk,” katanya.

Lim berkata kerajaan negerinya mampu berbuat demikian berdasarkan amalan belanjawan berhemah, jimat-cermat, urus tadbir baik melalui CAT (Cekap, Akauntabel, Telus) yang berpaksikan 'amar maa'ruf nahi mungkar'.

“Urus tadbir CAT mendapat pengiktirafan oleh badan antarabangsa anti rasuah terunggul, Transparency International, yang buat kali pertamanya memuji sebuah kerajaan negeri di Malaysia.

“Laporan Ketua Audit Negara juga memuji kejayaan kerajaan negeri yang menukarkan anggaran defisit Belanjawan 2008 sebanyak RM35 juta kepada rekod lebihan RM88 juta dan anggaran defisit Belanjawan 2009 sebanyak RM40 juta kepada lebihan RM77 juta,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun menurut Lim, pihaknya berasa kesal pihak lawan politiknya cuba mensabotaj program Warga Emas dengan menuduh pemberian wang RM100 kepada golongan berusia sebagai tindakan rasuah.

“Kami akan meneruskan program ini dan kami bersedia untuk menghadapi sebarang siasatan atau tindakan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM),” kata Lim.

Beliau berkata penghargaan wang tunai itu merupakan kesinambungan kerajaan Pakatan Rakyat yang telah pun berjaya membasmi miskin tegar di Pulau Pinang.

Pulau Pinang, kata Lim, juga berbangga kerana berjaya memberikan rebet air RM100 kepada hampir 170,000 keluarga susah dan mampu menyumbang beras percuma sepanjang tahun 2008 dan 2009 kepada golongan berkenaan.

Monday, March 8, 2010

Program Solat Hajat & Munajat Selamatkan Dato Seri Anwar Ibrahim & Malaysia

Satu Program solat hajat & munajat Selamatkan Dato Seri Anwar Ibrahim & Malaysia bersama DR.Badrulamin Pada 14 March 2010 di Surau Al-Falah,Taman Song Choon,Ipoh.Bermula solat Maghrib.Anjuran AMK Cabang Gopeng.Orang Ramai yang beragama islam dijemput hadir.

Liwat II: VCD fatwa Yusuf al-Qaradhawi diedar

Satu cakera padat (CD) yang berupa rakaman sidang video ulama tersohor Prof Dr Yusuf al-Qaradawi berhubung fatwa terhadap pertuduhan liwat yang dihadapi oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diedarkan kepada orang ramai malam tadi.

Dalam rakaman sidang video itu antara lain mengandungi mengenai fatwa ulama dunia Islam itu terhadap pertuduhan liwat yang dihadapi oleh Anwar yang juga ketua pembangkang.

Sidang video itu telah dirakamkan pada 14 Februari selama 33 minit itu di kediaman Dr Yusuf di Doha, Qatar termasuk terjemahan percakapan beliau yang dilakukan oleh ahli jawatankuasa PAS Pusat, Abdul Ghani Shamsuddin.

Cakera padat yang bertajuk "Fatwa Mutakhir Dr Yusuf al-Qaradawi berhubung konspirasi II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim" telah diterbitkan oleh Women's Institute of Research Development dan Advancement (WIRDA) diedarkan secara percuma.
Anwar dalam ceramahnya malam tadi berkata Dr Yusuf - yang merupakan Ketua Ulama Islam Sedunia - menegaskan kepadanya bahawa isu yang dihadapinya itu berkaitan dengan hukum Islam dan akhlak.

Tambahnya, dalam sidang video itu tokoh Islam itu membawa hujah al-Quran dan Hadis serta alasan-alasan beliau mengeluarkan fatwa tersebut.

"Ini bukan soal PAS, atau PKR, tetapi ini soal akidah dan akhlak. Beliau berkata kepada saya, bahawa beliau bertanggungjawab di akhirat kelak (dengan fatwanya)," kata Anwar ketika berceramah di Kampung Baru di ibunegara malam tadi.

Ceramah itu disampaikan sempena sambutan ulang tahun kedua Pakatan Rakyat sejak memenangi pilihan raya umum pada 2008, termasuk menguasai sembilan daripada 10 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dalam ceramahnya, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata Dr Yusuf telah mengeluarkan fatwa bahawa sesiapa yang merancang dalam fitnah tersebut, sama ada secara langsung atau tidak langsung maka hukumnya adalah "munafik"

Anwar juga berkata fatwa Dr Yusuf juga menyebut, bahawa sesiapa yang membantu menyebarkan berita fitnah tersebut maka jatuh hukumnya sebagai fasik.

Kata Anwar, orang yang fasik tidak boleh diterima kesaksiannya dan kebenaran percakapannya sepanjang hidup.

"Dr Yusuf berkata kepada saya, tolong selamatkan mereka... Ini merupakan satu amanah, tolong sampaikan, dan sebarkan kepada semua," kata Anwar.

Sehubungan itu, Anwar meminta hadirin memperbanyakkan salinan CD tersebut dan menyebarkan kepada orang ramai.

"Ada orang kata saya ada kepentingan (dengan CD itu), (tapi) saya rasa tidak tergugat (dengan pertuduhan itu) kerana tidak ada kes, (dan) laporan doktor menyebelahi kita," katanya.

Dalam ceramahnya juga, Anwar juga mengulas mengenai ujian yang dihadapi oleh negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat dengan mengambil iktibar daripada perjuangan Rasulullah SAW.

Menurutnya lagi, Pakatan Rakyat harus bersedia untuk menghadapi sebarang ujian daripada Umno/BN demi menegakkan kebenaran dan keadilan dalam masyarakat di negara ini dapat tercapai.

"Mereka pukul dan aibkan kita. Kalau patah dayung, dengan jari ku dayung jua. Namun mengalah, tidak sesekali," katanya.

Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri, turut menyindir wakil rakyat PKR melompat parti kerana tidak sabar dengan ujian sehingga mereka membuat keputusan untuk keluar daripada parti.

"Dulu Anwar kata, kita akan dapat ke Putrajaya. Oleh kerana lambat, jadi mereka patah balik. Tengok satu juta bertahan, tengok duit dua juta, hati berdebar," katanya berseloroh diiringi gelak ketawa hadirin.

"Sokong (Pakatan Rakyat) kerana prinsip keadilan, bukannya untuk dapat wang".

Sebelum itu, berlaku kekecohan apabila polis cuba menghentikan perhimpunan sambutan ulang tahun kedua Pakatan Rakyat itu.
Bagaimanapun, ceramah itu diteruskan apabila penganjur meneruskannya di dalam bangunan kelab tersebut, yang dimiliki oleh kerajaan Selangor.

Wednesday, March 3, 2010

Azan, Yusmadi, Manikavasagam, Rashid tidak akan keluar PKR

PETALING JAYA, 3 Mac: Spekulasi empat ahli parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikaitkan keluar parti, Azan Ismail, Yusmadi Yusoff, S. Manikavasagam dan Datuk Rashid Din terjawab pagi ini apabila menegaskan tidak akan berbuat demikian.

Penegasan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas dan 11 Ahli Parlimen PKR yang lain pagi tadi bahawa mereka terus bersama-sama PKR dan Pakatan Rakyat.

Penegasan tersebut sekaligus menafikan khabar angin yang disebarkan oleh beberapa blog, kononnya akan ada beberapa lagi Ahli Parlimen PKR akan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas.

"Kami (selaku) Ahli Parlimen yang tidak berjawatan utama dalam parti (PKR) sekeras-kerasnya menolak dakwaan bahawa kami akan meninggalkan parti sebagaimana yang dispekulasikan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab," jelas beliau selaku jurucakap bagi kesemua Ahli Parlimen terbabit.

Beliau menyifatkan spekulasi tersebut didalangi oleh Umno BN kerana gusar dengan gelombang kedua sokongan rakyat pada kepemimpinan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, beliau mendakwa beberapa kepemimpinan Umno BN cuba mengumpan beberapa Ahli Parlimen PKR yang tidak memegang jawatan penting supaya meninggalkan parti itu.

"Untuk memecahkan keutuhan Keadilan (PKR) bersama-sama Pakatan Rakyat bermula dengan mengumpan beberapa Ahli Parlimen supaya menjadi wakil rakyat bebas."

Ujarnya lagi, tindakan Umno itu mungkin bertujuan melemahkan lagi kepemimpinan pembangkang, terutama ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sedang berdepan dengan cabaran fitnah, iaitu kes liwat.

Dengan tercetusnya pelbagai spekulasi tersebut dalam PKR, menurut beliau, Umno berjaya mengalih tumpuan rakyat dari melihat realiti sebenar ekonomi tanah air yang kian merosot, di samping beberapa isu kepincangan pengurusan dalam kerajaan Persekutuan sendiri.

Ditanya tentang kedudukan Zulkifli Nordin, beliau berharap Ahli Parlimen Bandar Kulim Baru itu tidak mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zaharain Hashim yang mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi calon bebas.

Yang menyertai Kamarul di Ibu Pejabat PKR adalah Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid, Ahli Parlimen Ketereh, Ab. Aziz Ab Kadir, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam dan Ahli Parlimen Merbok, Datuk Rashid Din.

Manakala Ahli Parlimen Padang Serai, Gobalakrishnan, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian walaupun tidak menyertai Kamarul, namun dimaklumkan tetap bersama PPR dan Pakatan Rakyat.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Mohsin Fazli, iaitu Ahli Parlimen Bagan Serai turut dispekulasikan untuk meninggalkan PKR lalu menjadi wakil rakyat Bebas, tetapi sehingga kini tiada mana-mana pihak boleh menjelaskan tentang kedudukan wakil rakyat itu.

Sumber :Harakahdaily