Wednesday, March 3, 2010

Azan, Yusmadi, Manikavasagam, Rashid tidak akan keluar PKR

PETALING JAYA, 3 Mac: Spekulasi empat ahli parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikaitkan keluar parti, Azan Ismail, Yusmadi Yusoff, S. Manikavasagam dan Datuk Rashid Din terjawab pagi ini apabila menegaskan tidak akan berbuat demikian.

Penegasan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas dan 11 Ahli Parlimen PKR yang lain pagi tadi bahawa mereka terus bersama-sama PKR dan Pakatan Rakyat.

Penegasan tersebut sekaligus menafikan khabar angin yang disebarkan oleh beberapa blog, kononnya akan ada beberapa lagi Ahli Parlimen PKR akan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas.

"Kami (selaku) Ahli Parlimen yang tidak berjawatan utama dalam parti (PKR) sekeras-kerasnya menolak dakwaan bahawa kami akan meninggalkan parti sebagaimana yang dispekulasikan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab," jelas beliau selaku jurucakap bagi kesemua Ahli Parlimen terbabit.

Beliau menyifatkan spekulasi tersebut didalangi oleh Umno BN kerana gusar dengan gelombang kedua sokongan rakyat pada kepemimpinan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, beliau mendakwa beberapa kepemimpinan Umno BN cuba mengumpan beberapa Ahli Parlimen PKR yang tidak memegang jawatan penting supaya meninggalkan parti itu.

"Untuk memecahkan keutuhan Keadilan (PKR) bersama-sama Pakatan Rakyat bermula dengan mengumpan beberapa Ahli Parlimen supaya menjadi wakil rakyat bebas."

Ujarnya lagi, tindakan Umno itu mungkin bertujuan melemahkan lagi kepemimpinan pembangkang, terutama ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sedang berdepan dengan cabaran fitnah, iaitu kes liwat.

Dengan tercetusnya pelbagai spekulasi tersebut dalam PKR, menurut beliau, Umno berjaya mengalih tumpuan rakyat dari melihat realiti sebenar ekonomi tanah air yang kian merosot, di samping beberapa isu kepincangan pengurusan dalam kerajaan Persekutuan sendiri.

Ditanya tentang kedudukan Zulkifli Nordin, beliau berharap Ahli Parlimen Bandar Kulim Baru itu tidak mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zaharain Hashim yang mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi calon bebas.

Yang menyertai Kamarul di Ibu Pejabat PKR adalah Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid, Ahli Parlimen Ketereh, Ab. Aziz Ab Kadir, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam dan Ahli Parlimen Merbok, Datuk Rashid Din.

Manakala Ahli Parlimen Padang Serai, Gobalakrishnan, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian walaupun tidak menyertai Kamarul, namun dimaklumkan tetap bersama PPR dan Pakatan Rakyat.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Mohsin Fazli, iaitu Ahli Parlimen Bagan Serai turut dispekulasikan untuk meninggalkan PKR lalu menjadi wakil rakyat Bebas, tetapi sehingga kini tiada mana-mana pihak boleh menjelaskan tentang kedudukan wakil rakyat itu.

Sumber :Harakahdaily

No comments:

Post a Comment