Saturday, December 12, 2009

Pakatan Rakyat jangan ikut rentak BN

Masyarakat umum memahami penggabungan parti-parti politik pembangkang, walaupun tidak secara formal tetapi dampaknya agak berkesan untuk menentang rejim Umno atau BN.

Dengan menggunakan konsep satu lawan satu yang dipraktikkan pada pilihan raya umum ke-12, ia agak berjaya dan hasilnya "Pakatan Rakyat" menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen, selain "menakluk" lima buah negeri (termasuk Perak).

Melihatkan sambutan rakyat terhadap kesepakatan tersebut, ia diteruskan dengan pembahagian kerusi-kerusi exco kerajaan negeri, dan sebarang perbezaan pendapat antara parti-parti tersebut cuba dikurangkan.

Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, DAP dan PAS berbeza dengan gabungan-gabungan sebelumnya seperti Barisan Alternatif, atau Gagasan Rakyat.

Barangkali mood pengundi semasa pilihan raya umum lalu memainkan peranan penting, menyebabkan Pakatan Rakyat terus diilhamkan dan mungkin dapat direalisasikan jika diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) nanti.

Perbezaan kali ini, ia cuma dianggotai oleh tiga parti pembangkang utama. Undang-undang untuk menubuhkan gabungan seperti BN, seperti pernah disebut-sebut orang, memerlukan sekurang-kurangnya tujuh parti politik.

Bagaimanapun, pada pilihan raya kecil Bagan Pinang, ROS menyebut peraturan sedemikian hanya terpakai jika parti politik tersebut tidak didaftar di peringkat nasional.

Kenyataan ini bermakna Pakatan Rakyat berhak untuk didaftarkan tanpa "karenah birokrasi" seperti yang pernah berlaku pada Gagasan Rakyat dan Barisan Alternatif dahulu.

Tanpa menunggu lama, PKR, DAP dan PAS sudah memulakan langkah ke arah pendaftaran rasmi.

Draf kini di peringkat akhir untuk diperbincangkan dan dipercayai ia sudah mula menggerakkan langkah ke arah itu - memungkinkan ia dirasmikan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Mungkin ada sesetengah pihak terlepas pandang, terdapat juga parti-parti pembangkang yang mempunyai arah tuju yang sama dengan Pakatan Rakyat seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Demokratik Malaysia (MDP).

Namun parti-parti ini tidak termasuk dalam gagasan "Pakatan Rakyat".

Adakah mungkin disebabkan para pemimpinnya seperti Dr Nasir Hashim (PSM) dan Wee Choo Keong (MDP) telah bertanding dan menang menggunakan lambang PKR, maka mereka berdua dianggap sebahagian pemimpin PKR?

Adakah disebabkan pengaruh dalaman bekas pemimpin PRM yang kini berada dalam PKR, maka sebarang kerjasama politik dengan PRM tidak mungkin, parti yang dianggap "telah" bergabung dengan Parti Keadilan Nasional untuk membentuk PKR?

Mahkamah baru-baru memutuskan bahawa PRM tidak dibubar dan masih kekal wujud.

Kenapa tidak diperluaskan prinsip gabungan "Pakatan Rakyat" ini kepada semua parti pembangkang itu tadi (PSM, PRM atau MDP) yang mempunyai tujuan dan matlamat utama yang sama iaitu menumbangkan Umno atau BN walaupun berkemungkinan berlainan ideologi.

Bukankah PAS DAP atau PKR juga berlainan idelogi?

Timbul persoalan, adakah Pakatan Rakyat hanya bersandarkan matlamat "kuasa" - yakni dengan hanya memenangi kerusi DUN dan kerusi parlimen di luar kerajaan Umno-BN telah memberikan DAP, PAS dan PKR "kuasa tawar-menawar" untuk berkongsi bawah satu bumbung "Pakatan Rakyat"?

Keadaan ini amat jelas apabila kita rujuk kenyataan bersama tiga parti ini atau pelantikan ahli-ahli majlis tempatan di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat. Hanya tiga parti ini sahaja ditimbulkan.

Saya sebagai pemerhati politik dari selatan tanahair berpendapat, perkembangan ini amat tidak baik kerana menunjukkan parti-parti lain, yang tidak mempunyai kuasa atau tanpa memenangi kerusi, tidak perlu dijemput atau diajak "bersatu".

Jika keadaan ini berlanjutan, seperti juga pada pilihan raya umum lalu, masih terdapat pertembungan tiga pihak di sejumlah kecil kerusi seperti di Selayang (BN, PKR dan PRM) dan di Stulang (BN, DAP dan PRM).

Menurut sumber yang berwibawa, pemimpin parti-parti kerdil seperti PSM, PRM dan MDP telah terasa seperti dipinggirkan oleh Pakatan Rakyat.

Amatlah tidak enak mata memandang jika masih berlaku pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Ia hanya akan menguntungkan BN.

Akhirnya punca kegagalan menumbangkan BN bukan faktor mood pengundi tetapi angkara ketidaksepakatan parti pembangkang sendiri.

Istilah "Pakatan Rakyat" masih kabur untuk difahami pengundi menjelang pilihan raya umum akan datang.

Jika "kuasa" - dan bukannya "rakyat" - menjadi asas kepada gabungan tiga parti besar itu, tidak mustahil "Pakatan Rakyat" akan turut menari mengikut rentak pemerintahan BN.

No comments:

Post a Comment