Tuesday, February 16, 2010

Dr Lee Boon Chye: Jangan Hanya Siasat Setpol Sahaja


Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr Lee Boon Chye menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia supaya turut menyiasat menteri yang menjadi ketua kepada setiausaha politik yang ditahan bersama wang tunai RM2 juta.

Bercakap kepada TVSelangor beliau berkata siasatan itu tidak seharusnya menjurus kepada Setiausaha Politik semata-mata tapi perlu diperluas kepada individu yang dekat dengannya.

Ahli Parlimen Gopeng itu mengesyaki seseorang Setiausaha Politik memainkan peranan tertentu walaupun sebenarnya tidak ada kuasa untuk meluluskan sebarang projek ataupun kontrak, sebagaimana menteri.

"Jadi, adakah Setiausaha Politik itu lebih kepada menjadi sebagai agen daripada orang yang menerima rasuah. Ini sepatutnya disiasat dengan lanjut.

"Cuma menteri yang berkuasa untuk meluluskan projek dan kontrak. Jadi, sepatutnya SPRM bukan setakat menyiasat Setiausaha Politik tetapi turut menyiasat menteri yang terlibat," katanya.

Jumaat lalu, SPRM menahan seorang Setiausaha Politik kepada menteri kanan di pangsapurinya di Teluk Air Tawar, Butterworth.

SPRM yang melakukan serbuan kira-kira jam 3.30 petang turut menemui wang tunai lebih RM2 juta di pangsapuri berkenaan.

Semalam, Hasbie Satar, Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop meletak jawatan tapi tidak menyatakan sebab peletakan jawatan itu.

tvselangor

No comments:

Post a Comment