Monday, April 19, 2010

Kerajaan Pulau Pinang Tambah Faedah Kematian ADUN

GEORGETOWN 19 Apr - Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membuat pindaan kepada Enakmen Anggota Pentadbiran Dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) 1980 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri yang dijangka bersidang tidak lama lagi.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, pindaan itu bertujuan bagi menambahkan faedah kepada ahli keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri sekiranya mereka meninggal dunia atau kehilangan upaya dalam tempoh memegang jawatan.

Bagi kematian biasa, faedah yang akan diberi kepada ahli keluarga Adun ialah sebanyak RM120,000, Ketua Menteri, RM750,000 dan Speaker DUN dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan ialah sebanyak RM500,000.

Nilai yang sama diberikan bagi kematian yang disebabkan bencana yang ditanggung mereka yang terbabit dalam kemalangan.

Manakala bagi kehilangan upaya kekal pula, kerajaan memperuntukkan nilai faedah antara RM120,000 hingga RM1 juta mengikut keadaan atau situasi kemalangan.

"Tujuan utama pindaan enakmen ini dibuat adalah untuk memberi jaminan kepada ADUN atau ahli keluarga mereka sekiranya kemalangan atau kematian berlaku dalam tempoh perkhidmatan. Pindaan yang dibuat adalah mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri termasuk ADUN pembangkang turut layak mendapat faedah yang tertera.

Guan Eng berkata, pada masa ini, faedah yang terkandung dalam Enakmen Anggota Pentadbiran Dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) 1980 hanya terhad kepada “Faedah Kemalangan” sahaja.

"Pindaan yang bakal dibuat akan memasukkan perkataan “atau kematian” ke dalam Enakmen tersebut bagi membolehkan ADUN atau waris mereka memperolehi faedah tersebut. Namun, kematian biasa yang tertera di dalam pindaan tersebut tidak termasuk kematian dengan cara bunuh diri," ujarnya.

No comments:

Post a Comment