Monday, February 15, 2010

Bukan Soal Anwar Sahaja Tapi Soal Demokrasi

Kegagalan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) menyuburkan demokrasi di negara ini punca masyarakat antarabangsa termasuk Australia mendesak pertuduhan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, digugurkan.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali membidas kenyataan Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just World Movement), Dr Chandra Muzaffar, kononnya lebih 50 Ahli Parlimen Australia tidak memahami amalan demokrasi berparlimen.

"Ahli-ahli Parlimen Australia dan negara lain bimbang kerana ia bukan soal Anwar sahaja tetapi persoalan mengenai kegagalan Umno-BN menyuburkan demokrasi dalam Malaysia," katanya kepada TV Selangor.

Azmin berharap pandangan antarabangsa itu tidak dilihat sebagai campur tangan kerana Malaysia juga sering menegur negara dalam dalam isu kemanusiaan dan hak asasi manusia.

Beliau menyifatkan pemimpin UMNO-BN hanya nampak 'kuman di seberang lautan' sedangkan 'gajah di hadapan mata tidak nampak', semata-mata mahu mempertahan kedudukan dan pangkat mereka.

Malah, Ahli Parlimen Gombak itu percaya pandangan masyarakat antarabangsa itu turut dikongsi bersama majoriti rakyat Malaysia yang melihat pertuduhan kes berkenaan sebagai konspirasi kedua.

"Jangan kita melihat masyarakat antarabangsa sahaja membantah, malahan rakyat Malaysia, majoritinya sudah jemu dan muak dengan fitnah Umno-BN.

"Malangnya suara rakyat Malaysia sudah ditutup dan dinafikan seolah-olah tidak ada sesiapa boleh bersuara," katanya.

No comments:

Post a Comment